Suasana kehidupan masyarakat nelayan ‘ala dolu-dolu’ kini boleh dirasai pengunjung menerusi Kampung Nelayan Meranti di D’Laman LKIM, sempena MAHA 2026.
Kampung Nelayan Meranti dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, hari ini sebagai tarikan baharu berteraskan warisan dan budaya komuniti nelayan tempatan.

Zon khas itu menampilkan suasana perkampungan nelayan yang autentik menerusi pelbagai aktiviti interaktif termasuk demonstrasi pengukiran bot tradisional, kemahiran menyirat jala, permainan sukan rakyat serta persembahan wayang pacak pada sebelah malam.

Pengenalan Kampung Nelayan Meranti turut melengkapkan ekosistem D’Laman LKIM menerusi konsep ‘Tiga Tarikan, Satu Pengalaman’.


Selain meneroka kehidupan dan budaya masyarakat nelayan, pengunjung berpeluang menikmati sajian hasil laut di Tropical Garden Café (TGC) serta merasai kemeriahan jualan atas sampan di Floating Market sepanjang 10 hari MAHA 2026.
Pada masa sama, D’Laman LKIM berperanan sebagai platform memperkasa sosioekonomi komuniti nelayan dengan memberi ruang kepada Persatuan Nelayan dan pengusaha tempatan mempromosikan produk serta kebudayaan mereka secara terus kepada pengunjung.

Kampung Nelayan Meranti juga dijangka menjadi antara destinasi agropelancongan keluarga yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung MAHA 2026.
