nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 lagi di China dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat jam 8 malam ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di kedua-dua negara, selain menyemak silang maklumat bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan diterima.
Menurutnya, angka berkenaan akan terus dikemas kini apabila hubungan berjaya diwujudkan dengan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi atau maklumat lanjut diterima daripada pihak berkuasa serta ahli keluarga.
“Kementerian memahami kebimbangan berhubung keterbatasan maklumat peribadi mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi yang boleh dikongsikan kepada umum.
“Selaras dengan prosedur konsular ditetapkan, perkembangan mengenai kes individu disalurkan secara terus kepada waris terdekat yang sudah disahkan,” katanya, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pegawai konsular juga sudah menghubungi waris terdekat yang dikenal pasti berdasarkan maklumat tersedia bagi menyampaikan perkembangan terkini.
Pada masa sama, katanya maklumat peribadi tidak akan didedahkan kepada umum tanpa kebenaran waris terdekat.
Kementerian turut meminta pengamal media dan masyarakat umum merujuk angka rasmi dikeluarkan kementerian dalam laporan berkaitan rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi di Nepal dan China.
“Kementerian menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan, sanak saudara dan masyarakat terhadap rakyat Malaysia yang terjejas.
“Pada masa sama, kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi serta ahli keluarga terdekat mereka kekal menjadi keutamaan kementerian.
“Sehubungan itu, semua pihak diminta menghormati privasi keluarga terjejas dan merujuk maklumat rasmi kementerian sementara usaha konsular diteruskan,” katanya.
Menurutnya, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya terus beroperasi 24 jam sehari bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas serta ahli keluarga mereka.
“Ahli keluarga terdekat yang masih belum menyalurkan maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui mwkathmandu@kln.gov.my atau Kedutaan Besar Malaysia di Beijing melalui mwbeijing@kln.gov.my, dengan salinan kepada Bilik Operasi Kementerian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

