hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agrobank terus merancakkan industri keterjaminan makanan dan agromakanan negara dengan menawarkan kira-kira RM1.21 bilion dana pembiayaan menerusi tiga dana berasingan yang bakal memberi manfaat kepada usahawan tempatan.
Tiga dana berkenaan ialah Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 bernilai RM200 juta, Dana Keterjaminan Agromakanan (DKA) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion, RM10 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah Dana Pembiayaan Pertanian untuk Pelaburan (D3P).
Selain itu, Agrobank mengadakan kolaborasi strategik bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan sasaran pembiayaan sehingga RM200 juta bagi menyokong pembangunan projek strategik dalam ekosistem agromakanan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, dana berkenaan disediakan bagi menyokong usaha meningkatkan produktiviti serta penghasilan makanan, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara.
Jelasnya, pembiayaan itu meliputi pelbagai bidang pertanian berimpak tinggi termasuk ruminan, poultry (penternakan), akuakultur, logistik serta aktiviti hiliran.
“Pendekatan Agrobank bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah turut merangkumi khidmat nasihat kewangan, pemasaran dan pengurusan kewangan kepada usahawan.
“Usahawan yang menerima pembiayaan turut akan dibimbing bersama syarikat peneraju bagi memastikan mereka mendapat panduan secara langsung dalam menguruskan aktiviti pertanian serta penggunaan dana,” katanya di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Agrobank turut menyampaikan Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) berjumlah RM RM41.82 juta kepada 10 syarikat di dalam industri keterjaminan makanan.
Katanya, pembiayaan kepada PKPS akan menyokong beberapa pelan strategik yang akan dilaksanakan dari tahun ini hingga 2030, termasuk pembangunan logistik, industri ruminan, poultry, akuakultur serta aktiviti hiliran di bawah PKPS.
“Kerjasama Agrobank dalam memperkukuh sektor pertanian turut membabitkan beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, termasuk Lembaga Nanas Malaysia dan Jabatan Perikanan.
Beliau berkata, Agrobank juga memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan sektor pertanian menerusi automasi, pemodenan dan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT).
© New Straits Times Press (M) Bhd
