London: Pengalaman Filip Hrgovic menjadi pemisah apabila petinju Croatia itu menewaskan Moses Itauma menerusi hentian pengadil pada pusingan kesembilan untuk merangkul gelaran heavyweight dunia IBF yang tanpa penyandang di O2 Arena, London, malam tadi.
Itauma, 21, yang mengintai peluang menjadi juara heavyweight dunia kedua termuda selepas legenda Amerika Syarikat, Mike Tyson, bermula garang dan menguasai pertarungan pada peringkat awal.
Namun, berdepan Hrgovic yang memiliki pengalaman luas termasuk pernah memenangi pingat Olimpik, Itauma mula kehabisan tenaga sebelum pertarungan memasuki pusingan terakhir.
Jurulatih Itauma, Ben Davison, kemudian membaling tuala pada pusingan kesembilan, namun pengadil Howard Foster terlebih dahulu menghentikan pertarungan bagi memberikan kemenangan kepada Hrgovic.
Kemenangan itu membolehkan Hrgovic, 34, merebut tali pinggang IBF yang dikosongkan juara dunia Oleksandr Usyk.
Itauma yang sebelum ini tidak pernah bertarung melebihi pusingan keenam turut terpaksa dikeluarkan dari gelanggang menggunakan pengusung dan dibawa ke hospital selepas pertarungan.
“Saya tidak tahu dari mana saya mendapat tenaga pada pusingan kesembilan itu,” kata Hrgovic.
Walaupun menang, Hrgovic tetap memuji keberanian Itauma dan menyifatkan lawannya itu sebagai masa depan heavyweight dunia.
“Saya adalah masa kini dan dia pastinya masa depan. Dia petinju yang hebat, luar biasa dan antara yang terbaik pernah saya lawan, tetapi dia memerlukan lebih banyak pengalaman.
“Saya dapat merasakan rentak pertarungan. Saya tahu saya kehilangan beberapa pusingan, tetapi saya tahu rentak itu akan memihak kepada saya. Dia semakin kehabisan tenaga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
