LANGKAWI: Dua gol jaringan pemain Singapura, Saswadimata Dasuki dan Lim Tong Hai mengesahkan pasukan negara jiran itu akhirnya berjaya menjulang ‘Piala Malaysia’ setelah membenam Kedah selepas 33 tahun.
Bagaimanapun, keputusan 2-1 itu hanya diperoleh Singapura dalam perlawanan bola sepak Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 yang berlangsung di Stadium Langkawi, malam tadi.
Perlawanan tersebut dianjurkan bagi menghimpunkan semula pemain-pemain legenda Kedah dan Singapura yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 28 November 1993.
Ketika itu, Kedah menewaskan Singapura 2-0 hasil jaringan Radhi Mat Din dan Lee Kin Hong dalam aksi di hadapan puluhan ribu penyokong di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Dalam perlawanan ulangan semalam, aksi tersebut disaksikan hampir 10,000 penonton yang membanjiri stadium bagi mengubat kerinduan terhadap pemain legenda terutama bintang import Kedah, Peter Nieketien, Tibor Szaban dan Olunbumi Adigun.
Malah, perlawanan itu turut disajikan dengan penampilan istimewa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim yang bermain bersama legenda Kedah.

Turut beraksi, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din yang juga ketua pasukan Kedah era 90-an dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar yang juga bekas bintang Kedah.
Legenda lain yang beraksi termasuk Datuk Lim Teong Kim, Azmi Mahmud, Nidzam Adha Yusoff, Noorazam Ishak, Farouk Ismail bersama kembarnya, Feriza Ismail, Faridzuan Che Hamid serta Manja Man yang turut dibimbing jurulatih, Roberts Alberts.
Manakala Singapura menampilkan pemain utama mereka seperti Fandi Ahmad, Abbas Saad, Malek Awab, Razali Saad, E. Manimohan, Amin Nasir, Haron Hasnim dan Yahya Madon.
Sementara itu, Zuraidi berkata, perlawanan itu menjadi permulaan untuk pihaknya membantu mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di Kedah terutama dalam soal pembangunan bakat.
“Saya memberitahu kepada Menteri Besar bahawa Kedah akan ada satu anjakan terbaik dalam konteks bola sepak di negeri ini melihat kepada kehadiran ribuan penduduk Langkawi yang dahagakan hiburan berbentuk sukan,” katanya.
Tambahnya, pemilihan Langkawi sebagai lokasi perlawanan berbanding Stadium Darul Aman dilakukan bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan pulau peranginan itu dengan limpahan ekonomi turut dirasai penduduk setempat. – UTUSAN
