farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tiga rakyat Malaysia dikenal pasti antara warga asing yang belum dapat dikesan susulan kejadian tanah runtuh di Pelabuhan Gyirong, China, Rabu lalu.
Wisma Putra dalam kenyataanya, bagaimanapun menjelaskan, ketiga-tiga individu berkenaan sudah termasuk dalam jumlah 36 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan masih gagal dihubungi di China dan bukan kes tambahan.
“Sehubungan itu, angka semasa kekal pada 36 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi di China dan 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan masih belum dapat dihubungi di Nepal,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berkaitan di Nepal serta China bagi mendapatkan kepastian mengenai
keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Katanya, maklumat yang
diterima di kedua-dua negara turut disemak silang bagi mengenal pasti sebarang pertindihan laporan.
“Sejak beberapa hari lalu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut memberikan bantuan konsular kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi dan telah datang ke Kathmandu.
“Kedutaan sudah memberikan maklumat terkini, panduan berhubung prosedur tempatan, membantu urusan dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan dan sekiranya diperlukan, mengiringi ahli keluarga ke lokasi berkaitan di Kathmandu,” katanya.
Katanya, ahli keluarga turut dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Nepal.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan di Beijing juga terus berhubung dengan pihak berkuasa masing-masing di Nepal dan China bagi mendapatkan akses ke kawasan yang lebih hampir dengan lokasi terjejas.
Sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta keadaan keselamatan dan akses semasa di lapangan,” katanya.
Wisma Putra turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan ketika usaha mengesan rakyat Malaysia terbabit masih diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
