Putrajaya: Bukan semua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai pengalaman mengendalikan pesawat aerobatik berprestasi tinggi, apatah lagi bersaing pada pentas perlumbaan udara antarabangsa yang menuntut ketepatan, keberanian dan kemahiran menguasai pesawat pada tahap maksimum.
Bagi pesara juruterbang pejuang TUDM Mejar (B) Datuk Halim Othman, 60, pengalaman selama empat dekad dalam dunia penerbangan, termasuk sebagai rakyat Malaysia pertama yang layak menyertai Red Bull Air Race World Championship, menjadi aset penting dalam menerajui pertunjukan udara sulung, Merdeka Sunset Show: Melukis Senja, sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 7 malam ini.
Persembahan aerobatik solonya pada waktu senja itu menampilkan aksi pesawat yang digabungkan dengan elemen asap dan piroteknik berlatarbelakangkan matahari terbenam, sekali gus memberikan kelainan kepada pertunjukan udara bersempena dengan Bulan Kebangsaan.
Beliau berkata konsep persembahan itu merupakan kesinambungan daripada pertunjukan sulung ‘Melukis Senja’ yang diperkenalkan di Chenang bersempena dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lepas.
Pengalaman menerbangkan pesawat aerobatik bukan sekadar soal melakukan manoeuvre ekstrem, sebaliknya satu kemahiran yang dibentuk melalui disiplin, latihan berterusan serta kefahaman mendalam terhadap keupayaan dan had pesawat.
“Apabila saya berlumba di kawasan Red Bull, kebanyakannya juruterbang bukan rakyat Malaysia dan bukan dari Asia.
“Cabarannya adalah bagaimana hendak membuktikan bahawa kita juga boleh buat sama baik atau lebih baik daripada mereka.
“Jadi saya buat perkara ini untuk generasi muda dan negara supaya mereka tahu kita ada orang Malaysia yang boleh buat,” katanya dalam temu bual eksklusif Bernama.
Halim memulakan kerjaya penerbangan sebagai juruterbang pejuang TUDM pada 1985 dan pernah menerima anugerah “Top Gun” sebelum mengembangkan pengalaman dalam operasi ketenteraan, penerbangan aerobatik serta perlumbaan udara antarabangsa.
Beliau juga mencatat pencapaian membanggakan pada 2014 apabila muncul juara Challenger Cup di Ascot, United Kingdom dan Las Vegas, Amerika Syarikat, selain menduduki tempat kedua pada Challenger CupFinal di Red Bull Ring, Austria.
Sepanjang kerjaya penerbangannya, Halim mengendalikan pelbagai jenis pesawat termasuk MiG-29N, F/A-18D Hornet, A-4 Skyhawk, F-5E Tiger dan Extra 300L, selain pesawat Learjet 35A dan King Air 350i.
Pengasas dan Presiden Aerotree Defence and Services Sdn Bhd itu juga memainkan peranan dalam penubuhan Krisakti, pasukan pertunjukan udara rasmi pertama Malaysia yang membuat penampilan sulung pada LIMA 2011.
Beliau turut berkongsi perancangan untuk memperkenalkan pasukan aerobatik baharu dengan enam pesawat lengkap berserta asap berwarna bagi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan dan LIMA akan datang.
“Ini bukan sekadar pertunjukan, ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Aerotree untuk menyemai semangat anak-anak muda tempatan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
