harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seorang wanita tempatan menempuh detik cemas menjadi mangsa ragut dua lelaki ketika sedang menjawab panggilan telefon di hadapan rumah di Taman Cheras Perdana, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa yang berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan namun menanggung kerugian selepas seutas gelang emas bernilai RM2,000 dilarikan dua individu menaiki motosikal.
”Pihak polis menerima laporan 3.44 petang semalam berhubung kejadian ragut yang berlaku pada 11.15 pagi kelmarin ketika mangsa yang berada di hadapan rumahnya untuk menjawab panggilan telefon.
”Datang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaiki dua suspek lelaki yang tidak dikenali menghampiri mangsa dan salah seorang suspek turun lalu cuba menarik beg tangan mangsa namun tidak berjaya.
”Suspek terbabit kemudian meragut seutas gelang emas yang dipakai pada pergelangan tangan kiri mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati suspek memakai visor gelap pada topi keledar manakala nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dilihat dengan jelas.
Katanya, usaha mengenal pasti dan mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis yang terdekat atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Aidhil Othman di talian 0193713937.
Terdahulu kejadian itu tular di media sosial selepas gambar dan klip video memaparkan individu dipercayai suspek dimuat naik oleh seorang pengguna di Thread.
© New Straits Times Press (M) Bhd
