PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri warga China memilih cara lebih ‘santai’ apabila membawa tilam angin sebagai alas untuk mereka lepak di Dataran Putrajaya sementara menunggu detik sambutan perarakan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan pagi esok.
Ma Zhongxiao, 26, dan isteri, Zhou Yongqin, 21, yang berasal dari wilayah Gansu, China tiba di Dataran Putrajaya di sini seawal 5 petang tadi bagi merasai sendiri pengalaman pertama menyaksikan sambutan itu.
Zhongxiao yang juga penuntut Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ini adalah pengalaman pertamanya menyertai sambutan Hari Kebangsaan selepas tiba di negara ini sejak empat tahun lalu.
“Saya tak pasti boleh bawa tilam angin atau tidak. Sebaik tiba di sini tadi, ramai yang terkejut melihat kami membawa tilam angin. Saya harap tiada masalah untuk kami.
“Saya dan isteri membawa tilam angin bagi memastikan kami lebih selesa sepanjang menunggu perarakan yang akan berlangsung esok pagi.
“Kami turut tertanya-tanya sama ada penggunaan tilam angin di kawasan ini dibenarkan atau tidak, namun setakat ini tidak menerima sebarang teguran daripada pihak berkuasa.
“Tengok orang lain bawa tikar, kami pula bawa tilam angin. Saya tidak pasti sama ada boleh atau tidak, tetapi kami hanya mahu duduk dengan lebih selesa sementara menunggu pagi,” katanya.
Katanya, dia bersama isteri, Zhou Yongqin, 21, yang juga pelajar Bahasa Arab di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengetahui mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi video-video yang ditonton di TikTok sebelum membuat keputusan untuk hadir lebih awal bagi mendapatkan lokasi terbaik.
Jelasnya lagi, dia sudah empat tahun berada di Malaysia tetapi tidak pernah berpeluang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan secara langsung.
“Di negara asal saya di wilayah Gansu, China, saya juga tidak pernah merasai pengalaman seperti ini. Jadi apabila tahu mengenai sambutan ini, saya rasa teruja untuk datang.
“Pengalaman menunggu bersama ribuan pengunjung lain yang terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang kaum dan latar belakang juga memberikan kenangan yang cukup istimewa.
“Ini kali pertama kami merasai suasana seperti ini. Saya rasa rakyat Malaysia sangat bersemangat menyambut Hari Kebangsaan dan suasana di sini sangat meriah,” katanya. – UTUSAN
