Dua penghuni Puspen Dengkil larikan diri, ditahan semula

PETALING JAYA: Dua penghuni yang meloloskan diri dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil berjaya diberkas semula dalam dua operasi berasingan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seorang daripada penghuni terbabit ditahan polis di Serendah manakala seorang lagi berjaya diberkas AADK Hulu Langat di Rawang.

“Kedua-duanya telah dibawa ke Puspen Dengkil semula.

“Dalam masa terdekat mereka akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan perundangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, AADK memaklumkan dua penghuni lelaki Puspen Dengkil melarikan diri pada 27 Ogos lalu.

Menurut Ruslin, kedua-duanya dipercayai keluar dari kawasan Puspen sebelum mengambil sebuah kenderaan dari sebuah kampung yang terletak berhampiran pusat pemulihan berkenaan.

Kenderaan berkenaan kemudiannya ditemui AADK di Beranang sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan. – UTUSAN

Scroll to Top