Muzik rock berpatriotik naikkan semangat merdeka

puterialia@hmetro.com.my

Tahun pertama kemunculan semula penyanyi, T-Rex terus diwarnai kejutan apabila melancarkan karya terbaharu berjudul Jiwa Merdeka yang didedikasikan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Single ini sarat dengan semangat kecintaan terhadap tanah air, perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Menandakan kemunculan semula menerusi karya asli, Jiwa Merdeka adalah lagu berunsur patriotik pertama sepanjang kerjayanya dengan mengekalkan identiti muzik rock yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

Karya yang berdurasi tiga minit 26 saat ini menggabungkan elemen muzik rock Melayu dengan mesej yang ringkas, mudah dihayati serta mesra pendengar pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut T-Rex, lagu berkenaan bukan sekadar karya sempena sambutan kemerdekaan, tetapi medium peribadi meluahkan rasa cinta kepada negara.

“Ini adalah lagu Hari Kebangsaan pertama saya. Bagi saya, merdeka bukan sekadar satu sambutan yang diraikan setiap tahun, tetapi sesuatu yang dekat di hati kita sebagai rakyat Malaysia.

“Melalui Jiwa Merdeka, saya ingin menyampaikan semangat kebersamaan dan mengajak semua untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan gembira,” kata bekas vokalis kumpulan Kamikaze yang sinonim dengan lagu-lagu popular seperti Luhur, Tawa Dalam Tangisan dan Pergi Selamanya ini.

Lagu ini mengetengahkan mesej perpaduan menerusi ungkapan ‘Satu Suara. Satu Jiwa. Satu Malaysia,’ selain diperkaya dengan rangkap bermakna seperti ‘Bulan lapan, tiga puluh satu’ bagi mengajak pendengar terus menghayati erti kemerdekaan yang subur dalam jiwa mereka.

Projek istimewa ini diterajui sepenuhnya oleh Melissa Ng selaku pengarah konsep kreatif, penulis lirik, komposer dan penerbit lagu.

Menurut Melissa, matlamat utama penghasilan karya berkenaan adalah untuk memberikan nafas yang ceria kepada sambutan kemerdekaan.

“Bagi saya, sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira dan penuh semangat.

“Sebab itu, kami mahu Jiwa Merdeka membawa suasana yang lebih santai, ceria dan mudah dinyanyikan bersama,” katanya yang turut bertanggungjawab terhadap reka bentuk kostum bertemakan Hari Kebangsaan serta imej dan gaya kostum.

Walaupun proses produksi dan pelaksanaan keseluruhan projek berdepan beberapa cabaran tersendiri, setiap perancangan akhirnya dapat diselesaikan dengan jayanya hasil kerjasama erat semua pihak terbabit.

Dari aspek teknikal muzik, susunan lagu digarap bersama Melissa Ng dan Yon Iskandar, manakala proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ dikendalikan sepenuhnya oleh Yon Iskandar.

Menghidupkan lagi kehangatan karya ini, sebuah video muzik rasmi turut diterbitkan dengan menampilkan T-Rex bergandingan bersama pemuzik serta 14 penari bagi memaparkan elemen persembahan yang meriah dan bertenaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top