PUTRAJAYA – Keterujaan untuk mendapatkan lokasi terbaik bagi merakam suasana sambutan Hari Kebangsaan 2026 menyaksikan orang ramai mula berkumpul sejak petang semalam, malah ada yang sanggup memasang khemah dan bermalam di sekitar lokasi sambutan di Dataran Putrajaya.
Bagi Mock Wei Qi, 23, dia dan rakan-rakannya yang meminati fotografi dan sinematografi hadir sejak jam 11 malam tadi semata-mata untuk mendapatkan spot terbaik bagi menghasilkan rakaman yang lebih kreatif dan sinematik yang boleh menampilkan keistimewaan Malaysia.
“Kami mencari lokasi terbaik untuk mendapat pemandangan sinematik, kami mahu tunjuk pada dunia betapa istimewanya negara kita,” katanya kepada Bernama.
Mock berkata, mereka yang terdiri daripada pekerja bebas dan baru berjinak-jinak dalam bidang itu turut membawa kamera masing-masing bagi merakam detik bersejarah sambutan Hari Kebangsaan.

Orang ramai memenuhi pekarangan Persiaran Perdana untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya. Foto Bernama
Sementara itu, pasangan berusia 34 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai As dan Adib berkata, mereka tiba seawal jam 5 petang semalam bersama-sama anak bagi memastikan mereka dapat menikmati pemandangan yang lebih baik selepas pengalaman tahun lepas yang memaksa mereka berada jauh dari khemah utama sambutan kerana tiba lewat.
“Tahun lepas datang lewat, dapat tempat yang jauh. Kali ini kami tekad datang awal untuk dapat tempat dekat, dengan pemandangan yang lagi baik,” katanya.
Bagi Ahmad Azri Onn, 55, yang hadir bersama dengan isteri dan tiga anak berusia antara 10 hingga 15 tahun pula, pengalaman bermalam dan menunggu sambutan itu dianggap seperti aktiviti perkhemahan bersama-sama keluarga.

Kumpulan produksi Mock Busy ketika ditemubual pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya. Foto Bernama
Dia yang tiba kira-kira jam 5.30 petang semalam berkata, keluarganya teruja kerana berjaya mendapatkan kedudukan yang dekat, selain memanfaatkan cuti sekolah untuk membawa anak-anak menyaksikan sambutan secara langsung.
“Cuaca juga tidak menjejaskan keselesaan keluarga, malah hujan renyai semalam membantu mengurangkan bahang dan anak-anak berada dalam keadaan baik,” katanya.
Orang ramai mula membanjiri Dataran Putrajaya pagi ini bagi menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”, yang dijangka bermula pada 8 pagi ini. – Bernama
