Hari Kebangsaan: 17 kakitangan Media Prima sertai perarakan, zahir semangat cintakan negara

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Media Prima Berhad (MPB), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan menyertai perarakan dalam usaha menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.

Menyertai perarakan di bawah Kluster Keterhubungan Digital, seramai 17 kakitangan syarikat daripada pelbagai jabatan itu berarak melalui laluan utama lokasi acara di Dataran Putrajaya, di sini, bersama peserta lain dari pelbagai syarikat media dan telekomunikasi utama negara.

Perarakan kontinjen MPB diketuai Khairul Affandi Azlan dengan setiap peserta membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang, manakala beberapa yang lain turut memegang kain rentang tertera logo MPB.

Selain MPB, kumpulan perarakan itu turut disertai stesen penyiaran tempatan lain antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan CelcomDigi Berhad.

Sambutan kali ini membabitkan 10,819 peserta, 77 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam, 328 aset darat dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias yang turut disiarkan dan diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui televisyen dan laman media sosial.

Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top