Semangat juang pemacu kebangkitan Melaka FC

SEMANGAT juang tinggi pemain menjadi kunci kebangkitan Melaka FC (MFC) apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong pada Ahad.

Ketua jurulatih MFC, E Elavarasan berkata, kemenangan itu amat penting selepas pasukannya tewas kepada Terengganu FC sebelum ini sekali gus mengembalikan keyakinan pemain untuk meneruskan saingan musim ini.

Menurutnya, keazaman pemain untuk berjuang sehingga wisel penamat menjadi faktor utama kejayaan mereka meraih tiga mata walaupun corak permainan ketika menyerang masih belum mencapai tahap terbaik.

“Selepas kalah dengan Terengganu, sudah tentu kami mahu bangkit dalam perlawanan ini. Perkara paling penting ialah pemain mahu berjuang, melakukan yang terbaik dan memenangi perlawanan,” katanya.

Dalam aksi itu, MFC terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Yusuke Minagawa pada minit ke-19 sebelum Noel Agbre menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Situasi berubah apabila NSFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua selepas layangan kad merah, sekali gus memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk meningkatkan tekanan.

Elavarasan mengakui faktor nasib turut memainkan peranan apabila beberapa percubaan pasukannya sebelum itu hanya terkena palang dan tiang, sebelum Christian de Souza Andre muncul wira menerusi jaringan kemenangan pada minit akhir permainan.

“Apabila lawan mendapat kad merah, kami mempunyai kelebihan kerana mereka bermain dengan kurang seorang pemain. Keadaan itu memberi peluang untuk kami lebih ke hadapan,” katanya.

Beliau turut memuji sumbangan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat yang memainkan peranan penting menerusi beberapa aksi menyelamatkan percubaan berbahaya lawan, selain membantu memastikan kemenangan MFC.

Sementara itu, Elavarasan berkata, pasukan kejurulatihan akan menilai tahap kecergasan pemain sebelum menghadapi Penang FC dalam aksi Piala FA pada 2 September, selain memperbaiki kelemahan terutama dari segi corak permainan.

Scroll to Top