Kaki kanak-kanak digilis tayar kenderaan bawa bot bomba Hari Kebangsaan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Keterujaan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun ingin melihat persembahan aset pasukan keselamatan dengan lebih dekat sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri bertukar tragedi apabila kaki kirinya digilis tayar kenderaan membawa bot bomba.

Kejadian berlaku di hadapan Wisma Persekutuan, di sini, kira-kira jam 9.45 pagi tadi membabitkan mangsa, Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri selepas terjatuh ketika kenderaan pacuan empat roda yang menunda bot berkenaan mula bergerak secara perlahan.

Ibu mangsa, Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, dari Kampung Chendering, dekat sini berkata, dia hadir ke lokasi sambutan bersama tiga anaknya berikutan anak-anaknya teruja untuk melihat aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ketika kenderaan membawa bot jabatan itu berhenti beberapa kali di hadapan Wisma Persekutuan, anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun, Che Ku Nur Amirah berlari ke hadapan untuk mengambil gambar.

“Bagaimanapun, anak lelaki saya turut mengikuti kakaknya itu.

“Anggota bomba cuba mengiringi anak saya ke bahu jalan untuk keselamatan sebelum bergerak, namun anak saya secara tidak sengaja tiba-tiba jatuh tersembam,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu kaki anaknya berada di bawah bahagian tayar yang mula bergerak.

Katanya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia sendiri menyaksikan kejadian itu namun tidak mampu berbuat apa-apa.

“Semuanya berlaku terlalu pantas dalam beberapa saat sahaja, sebelum saya angkat anak saya itu.

“Syukurlah anak saya itu tidak mengalami kecederaan dalaman, tidak muntah dan juga tiada kecederaan pada bahagian tulang,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan penghargaan atas keprihatinan pihak polis yang berada di lokasi bagi mengawal keadaan, selain membantu mengiringi ambulans untuk membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 10.15 pagi.

“Ujian sinar-X (X-ray) mendapati tiada sebarang tulang yang patah, tapi doktor pakar kanak-kanak masih lagi melakukan pemantauan untuk memastikan tahap kesihatan anak saya.

“Saya tidak menyalahkan anggota bomba atau mana-mana pasukan keselamatan kerana mereka bertindak mengawal keselamatan dan pergerakan aset.

“Saya anggap kejadian itu berlaku dengan tidak disengajakan berikutan keterujaan anak saya untuk melihat dengan lebih dekat aset pasukan keselamatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top