nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keadaan jerebu di Sarawak semakin teruk apabila empat lokasi di negeri itu merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap bahaya apabila merekodkan bacaan IPU melebihi 300.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Serian, Kuching, Samarahan dan Sri Aman merekodkan bacaan IPU melebihi 300 setakat jam 2 petang tadi.
Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 451 diikuti Kuching (354), Samarahan (342) dan Sri Aman (332).
Tiga lokasi di Sarawak iaitu Sarikei (275), Sibu (234) dan Mukah (219) merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat apabila merekodkan IPU melebihi 200.
Enam lagi lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Samalaju (191), Miri (172), ILP Miri (171), Bintulu (171), Kapit (164) dan Limbang (160).
Selain itu, sembilan lagi lokasi iaitu Labuan (162), Sungai Petani (156), Seberang Jaya (155), Seberang Perai (155), Minden (153), Tawau (153), Kota Kinabalu (130), Politeknik Kota Kinabalu (122) dan Taiping (116) turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
Sebelum ini, media melaporkan operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan di kawasan dilanda jerebu terutama yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 selain kawasan empangan yang menunjukkan penyusutan paras air.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, operasi itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
© New Straits Times Press (M) Bhd

