kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan menyediakan pembiayaan dan geran berjumlah RM1.2 bilion bagi membantu perusahaan mikro dan kecil (PMK) menerusi beberapa ikhtiar segera sempena Hari Kebangsaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu mencerminkan keutamaan berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya perniagaan mikro dan kecil yang membentuk kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.
Katanya, menerusi Ikhtiar Merdeka, kemudahan pembiayaan bagi perniagaan mikro ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan kemudahan berkenaan bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
“Daripada tambahan RM1 bilion itu, RM100 juta akan disediakan menerusi TEKUN Nasional, manakala kemudahan RM6 bilion disalurkan melalui beberapa agensi kerajaan termasuk TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di bawah KUSKOP,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan MADANI turut memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu peniaga kecil termasuk penjaja, peniaga pasar malam serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Steven berkata, langkah berkenaan meneruskan komitmen kerajaan untuk memperluas akses pembiayaan kepada PMKS, selaras dengan peningkatan kemudahan pembiayaan dan jaminan pembiayaan PMKS daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion menerusi Belanjawan 2026.
Menurutnya, KUSKOP menyasarkan RM15 bilion pembiayaan kepada usahawan sepanjang 2026, dengan kira-kira RM9 bilion sudah disalurkan kepada lebih 250,000 usahawan setakat ini.
“Perusahaan mikro dan kecil merangkumi kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, justeru mereka perlu menjadi antara fokus utama dasar dan program pembangunan keusahawanan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan tahunan dijangka membantu mengurangkan beban pematuhan, khususnya kepada perniagaan mikro dan kecil.
Menurutnya, pengembalian kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan turut membantu peniaga dan usahawan yang bergantung kepada kenderaan untuk operasi harian.
“Ikhtiar ini selari dengan usaha Kerajaan MADANI dan kerangka ABCD KUSKOP untuk memudahkan urusan berniaga dengan akses kepada modal dipertingkatkan, proses pematuhan dipermudah dan kos menjalankan perniagaan diringankan.
“Fokus kita adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan usahawan memberi lebih banyak tumpuan kepada membina dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
