TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menyita sebuah kapal kargo selepas mendakwa kapal berkenaan membuang minyak dan enap cemar ke Selat Hormuz, lapor media kerajaan pada Isnin.
Timbalan Ketua Jabatan Pelabuhan dan Maritim wilayah Hormozgan di selatan Iran, Esmaeil Makizadeh berkata, pasukan pakar dan pembersihan dihantar ke lokasi selepas imej menunjukkan pembuangan minyak ke laut tersebar.
“Susulan penyiaran imej pembuangan minyak ke laut, pasukan pakar serta pembersihan dihantar ke lokasi dan kapal yang menyebabkan pencemaran itu disita.
“Kapal yang disita itu merupakan kapal kargo pukal yang membawa gula dan didakwa membuang campuran minyak terbakar, air takungan kapal serta enap cemar industri terus ke laut,” katanya kepada agensi berita rasmi IRNA.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bendera kapal berkenaan atau kewarganegaraan anak kapalnya.
Makizadeh berkata, sisa pencemaran itu telah dibersihkan dari perairan dan kapal berkenaan sudah dirujuk kepada pihak kehakiman.
Iran sebelum ini menuntut pampasan berikutan beberapa kejadian tumpahan minyak sejak beberapa minggu lalu, termasuk berhampiran Pulau Qeshm.
Pada awal Ogos, tompokan minyak turut dikesan berhampiran Oman susulan sebuah kapal tangki terkandas.
Siasatan AFP mendapati kapal berkenaan terkandas selama beberapa minggu berhampiran Pulau Al-Qibliyyah di Oman selepas mengalami kerosakan akibat letupan.
Dalam pada itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas terkena dua periuk api laut ketika cuba melalui ‘laluan haram’ di Selat Hormuz.
IRGC tidak memberikan butiran mengenai jumlah mangsa atau tahap kerosakan yang dialami kapal berkenaan.
Iran mengekalkan kawalan terhadap Selat Hormuz sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada Februari.
Teheran berkata, pihaknya merancang mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui selat itu bagi membiayai perkhidmatan termasuk perlindungan alam sekitar.
Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun menentang keras sebarang pengenaan bayaran di laluan perairan berkenaan.-AFP

