Putrajaya: Sekadar “mencuba nasib” menawarkan diri untuk menari, hasrat spontan penyampai radio Hot FM Fara Fauzana Mohd Fadzil akhirnya membawanya ke tengah pentas sambutan Hari Kebangsaan 2026, sekali gus merealisasikan impian lamanya bergelar penari.
Biarpun peluang itu hanya beberapa minit beraksi semasa persembahan lagu tema Hari Kebangsaan 2026 Aku Berjanji, kemunculan singkat itu cukup bermakna buat Fara Fauzana atau lebih mesra disapa Fafau, sementelah lagi peluang berkenaan hadir di pentas sambutan yang amat bersejarah buat rakyat Malaysia.
Semuanya bermula apabila anak seni kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu secara berseloroh menyuarakan hasrat tersebut kepada pasukan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ketika mereka hadir ke Hot FM untuk satu sesi temu bual, awal bulan ini.
“Saya beritahu pasukan JKKN, saya nak menari (turut serta dalam persembahan sambutan Hari Kebangsaan). Mereka kata tak boleh sebab latihan sudah bermula sejak Julai, tidak mengapalah kerana saya sekadar cuba nasib, tak tanya, tak tahu.
“Tetapi, selepas kira-kira dua minggu kemudian, saya dapat panggilan daripada JKKN yang menawarkan peluang untuk jayakan persembahan pada hari tersebut. Saya tanya, ‘Betul ke ni?’ Mereka kata betul, tetapi kena menari dan berlatih menerusi video yang diberi. Saya kata, ‘Okey, bolehlah’,” katanya.
Di sebalik keterujaan menerima peluang itu, Fara Fauzana hakikatnya berdepan dengan cabaran masa apabila mempunyai kira-kira 10 hari sahaja untuk mempelajari dan menguasai langkah tarian sebelum tampil pada hari kemuncak sambutan memandangkan beliau turut terikat dengan komitmen sebagai penyampai radio.
Mengakui bukan mudah mempelajari sendiri gerak tari gabungan moden dan tradisional menerusi video yang diberikan dalam masa singkat, Fara Fauzana tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan diperoleh dengan mendapatkan bimbingan jurulatih JKKN bagi memperkemas setiap langkah dan gerakannya.
“Memang susah juga step itu dan belajar daripada video tidak sama apabila ada cikgu. Sesi latihan ambil masa antara dua hingga tiga jam dan selepas dua hari belajar dengan cikgu dan faham konsep tarian, saya akan pastikan setiap hari berlatih walaupun berada di luar kawasan,” katanya.
Tampil lincah mengatur langkah bersama-sama barisan penari dalam segmen persembahan khas “Rentak MADANI Paluan Tradisi” yang menggabungkan elemen tarian moden dan tradisional, Fara Fauzana melihat penyertaannya itu lebih sekadar memenuhi impian peribadi.
Beliau berkata peluang keemasan itu turut menjadi antara caranya menzahirkan kecintaan kepada negara menerusi lapangan seni, apatah lagi pelakon dan pengacara itu juga saban tahun tidak pernah sekali pun melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
Semangat sama turut diterjemahkan pempengaruh media sosial Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Madnor yang memilih untuk menyertai perbarisan Shopee Malaysia di bawah Kontinjen Kesejahteraan Ekonomi pada sambutan Hari Kebangsaan tanpa sebarang bayaran.
Bagi Madnor, tidak semua penglibatan perlu dinilai dengan imbuhan wang, sebaliknya peluang menyertai perbarisan itu dianggap sebagai satu bentuk “khidmat negara” yang mampu disumbangkannya sebagai rakyat Malaysia.
“Apabila saya kongsikan di media sosial yang saya akan menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan ajak warga maya datang memberikan sokongan, ada yang komen, semua job (tugasan) nak tapau (ambil), berapa dapat bayaran? Sebenarnya, tak semua benda ialah tugasan dan tak semua benda imbalannya ialah duit.
“Bagi saya, perbarisan ini ialah khidmat kepada negara. Apabila syarikat jualan dalam talian bertanya sama ada saya ingin menyertai perbarisan, saya fikir mengapa tidak. Peluang ini bukan selalu datang, walaupun kita mungkin tidak kenal sesiapa, semangat kemerdekaan dan semangat kenegaraan itu mesti ada,” katanya yang terkenal dengan kandungan berunsur nasihat kewangan kepada Generasi Z.
Tidak terkecuali, usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang turut sama mengambil bahagian dalam perarakan itu pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang menambahkan lagi warna penglibatan barisan wajah popular dalam menyemarakkan sambutan dan semangat patriotisme.
Hakikatnya, biarpun berbeza cara dan lapangan, penglibatan selebriti serta pempengaruh dalam sambutan kali ini membawa satu mesej yang sama, rasa cinta akan negara boleh sahaja diterjemahkan dalam pelbagai cara mengikut kemampuan dan peranan masing-masing.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, acara berkenaan dihadiri lebih 100,000 pengunjung dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.
© New Straits Times Press (M) Bhd
