Kes URTI meningkat susulan kemerosotan kualiti udara di Sarawak

mdroji@bh.com.my

Kuching: Purata kes jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) di Sarawak meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan kemerosotan kualiti udara sejak awal Ogos lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, peningkatan turut direkodkan bagi kes konjunktivitis dengan purata kira-kira 21 kes seminggu berbanding 17 kes sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, peningkatan kes URTI lebih ketara pada pertengahan Ogos, terutama di beberapa zon di Sarawak.

“Zon Selatan mencatatkan kira-kira 1,250 kes, manakala Zon Tengah merekodkan lebih 1,000 kes dan Zon Utara mencatatkan puncak hampir 400 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Sarawak kini memantau penyakit berkaitan jerebu menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh negeri.

Katanya, fasiliti berkenaan memberi tumpuan kepada tiga keadaan utama berkaitan kualiti udara yang buruk, iaitu URTI, asma dan konjunktivitis.

Dari Januari hingga akhir Ogos 2026, fasiliti kesihatan sentinel itu merekodkan kira-kira 694,800 kunjungan pesakit, termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.

Dr Sim berkata, sejak kemerosotan kualiti udara yang diperhatikan mulai awal Ogos, pengawasan kesihatan menunjukkan sedikit peningkatan kes URTI dan peningkatan lebih ketara bagi konjunktivitis, manakala aktiviti asma secara keseluruhannya kekal stabil di peringkat Sarawak.

Beliau berkata, kehadiran pesakit asma di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak turut meningkat pada beberapa hari sepanjang Ogos, namun pemantauan keseluruhan tidak menunjukkan berlaku lonjakan kes asma yang berterusan.

Sementara itu, Dr Sim memberi jaminan fasiliti kesihatan di Sarawak bersedia dengan secukupnya bagi menghadapi sebarang peningkatan kes berkaitan jerebu, termasuk dari segi bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan.

Stok ubat-ubatan penting serta bekalan perubatan semasa, termasuk topeng tiga lapis, topeng N95 dan silinder oksigen, adalah mencukupi berdasarkan penggunaan semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top