Olcina, Juffrin terpantas Festival Sukan Antarabangsa Melaka

Olcina, Juffrin terpantas Festival Sukan Antarabangsa Melaka

ATLET triatlon negara, Juffrin Ranis dan wakil Sepanyol, Belen Olcina Sempere muncul juara kategori lelaki dan wanita pada Festival Sukan Antarabangsa Melaka yang berlangsung di Encore Melaka pada Ahad.

Juffrin mengungguli saingan triatlon Jarak Olimpik selepas mencatat masa 2 jam 34 minit 02 saat (s), manakala Olcina menamatkan perlumbaan wanita dengan catatan 3:00:43s.

Acara itu menguji ketahanan peserta menerusi tiga disiplin utama iaitu renangan sejauh 1.5 kilometer (km), kayuhan basikal 40km serta larian 10km.

Bagi Olcina, kemenangan tersebut cukup istimewa selepas kembali aktif dalam triatlon dua tahun lalu selepas berpindah ke Malaysia.

Olcina, Juffrin terpantas Festival Sukan Antarabangsa Melaka

Juffrin mengungguli kategori lelaki saingan triatlon Jarak Olimpik Festival Sukan Antarabangsa Melaka di Encore Melaka pada Ahad.

Atlet kelahiran Sepanyol itu sebelum ini pernah bersaing dalam Liga Triatlon Kebangsaan Sepanyol sehingga Divisyen Satu ketika zaman universiti sebelum berehat beberapa tahun kerana tuntutan kerjaya di England.

Sejak kembali ke arena triatlon, Olcina sudah menyertai kira-kira lima perlumbaan di Malaysia dan edisi kali ini menjadi penampilan sulungnya di Melaka.

“Saya berasa kuat sepanjang perlumbaan dan amat berpuas hati dengan prestasi ketika berbasikal. Malangnya lutut mula sakit ketika larian dan saya terpaksa memperlahankan rentak, namun saya tetap gembira dan bangga kerana muncul sebagai peserta wanita terpantas,” katanya.

Olcina turut mengakui cabaran cuaca panas dan lembap di Malaysia, namun memuji komitmen penganjur, petugas serta sukarelawan yang memastikan perlumbaan berjalan lancar.

“Saya sentiasa seronok berlumba di Malaysia walaupun cuacanya panas dan lembap. Selepas pengalaman ini, saya kini mempertimbangkan untuk melangkah ke acara triatlon jarak pertengahan,” katanya.

Edisi kelapan Festival Sukan Antarabangsa Melaka itu menarik penyertaan kira-kira 1,500 atlet dari lebih 45 negara, selain menerima kehadiran sekitar 3,000 pengunjung termasuk keluarga, penyokong dan petugas.

Olcina menjuarai kategori wanita triatlon Jarak Olimpik Festival Sukan Antarabangsa Melaka di Encore Melaka pada Ahad.

Olcina menjuarai kategori wanita triatlon Jarak Olimpik Festival Sukan Antarabangsa Melaka di Encore Melaka pada Ahad.

Pengarah perlumbaan, Andy Foo berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar mencari juara, tetapi turut memberi peluang kepada peserta mengenali keunikan Melaka.

“Kami mahu mereka datang kerana perlumbaan, tetapi kembali kerana Melaka. Perlumbaan mungkin tamat dalam beberapa jam, tetapi pengalaman mereka di sini berlanjutan sepanjang hujung minggu,” katanya.

Selain kategori Triatlon Jarak Olimpik, festival berkenaan turut menawarkan acara Super Sprint, Sprint, duatlon individu, duatlon berganti-ganti serta akuatlon menerusi konsep ‘racecation’ yang menggabungkan sukan dengan pengalaman menikmati warisan, budaya dan makanan Melaka.

Scroll to Top