audreymd@nst.com.my
Georgetown: Seekor ikan kanai atau tembaring yang jarang ditemui ditangkap seorang nelayan tempatan di Sungai Kuala, di sini, pada 30 Ogos lalu.
Jabatan Perikanan dalam kenyataan berkata, penemuan itu penting selepas nelayan tempatan melaporkan spesies berkenaan tidak direkodkan di kawasan itu sejak 15 tahun lalu.
Menerusi hantaran di Facebook Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang, spesies berkenaan dikenal pasti sebagai Lutjanus goldiei, iaitu spesies pemangsa yang hidup di kawasan muara dan terkenal dengan kekuatan serta daya tahannya, sekali gus menjadikannya ikan sukan yang digemari pemancing.
Jabatan itu berkata, spesies berkenaan lebih lazim ditemui di kawasan muara di Sabah dan Papua New Guinea, menjadikan kehadirannya di Pulau Pinang sesuatu yang menarik dari segi taburan geografi.
Menurutnya, Lutjanus goldiei biasanya mendiami kawasan muara yang dipengaruhi pasang surut serta kawasan sungai berhampiran pantai, khususnya yang mempunyai tumbuhan bakau dan nipah sebagai tempat berlindung serta mencari makanan.
“Penemuan di Sungai Kuala menunjukkan kawasan itu berupaya menyediakan keadaan ekologi yang sesuai untuk spesies berkenaan,” katanya.
Jabatan Perikanan turut menjelaskan bahawa Lutjanus goldiei ialah spesies asli dan tidak harus disamakan dengan largemouth bass (Micropterus salmoides), iaitu spesies yang diperkenalkan dan dilaporkan wujud di kawasan lain.
“Susulan spesies ini jarang ditemui dan dianggap sensitif terhadap perubahan persekitaran, kami menggalakkan pemancing dan nelayan mengamalkan kaedah tangkap dan lepas bagi menyokong usaha pemuliharaan serta mengekalkan populasi yang mampan di perairan Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
