KATHMANDU: Keluarga mangsa yang masih hilang di Nepal kini diminta meneliti gambar mayat yang ditemukan dalam usaha mempercepatkan proses pengecaman selepas banjir besar seperti tsunami melanda negara itu minggu lalu.
Pendekatan itu dilakukan ketika bilik mayat di seluruh Nepal semakin sesak, manakala pihak berkuasa berdepan kesukaran mengenal pasti mangsa yang ditemukan dalam keadaan teruk dan sebahagiannya dihanyutkan jauh dari kediaman masing-masing.
Sehingga semalam, angka kematian di Nepal dan Tibet mencecah 903 orang, manakala lebih 4,200 orang masih dilaporkan hilang selepas banjir dan tanah runtuh melanda kawasan lembah Himalaya.
Di Chitwan, kira-kira 160 kilometer di hilir dari kawasan yang paling teruk dilanda banjir kilat dan tanah runtuh, lebih 250 mayat dihanyutkan ke tebing sungai, namun hanya sembilan berjaya dikenal pasti kerana kebanyakannya mengalami kerosakan teruk.
Bagi mempercepatkan pengecaman, pegawai tempatan meminta orang ramai meneliti gambar mangsa dan mencari ciri pengenalan seperti rantai, cincin perkahwinan, tatu atau parut.
Gambar mangsa yang ditemukan turut disusun dalam tayangan slaid PowerPoint untuk diteliti ahli keluarga, selain dimuat naik ke laman web polis Nepal. Gambar tersebut turut ditampal pada dinding di luar bilik mayat di Kathmandu.
Sampel DNA juga diambil daripada setiap mayat sebelum ia diberikan tanda pengenalan dan nombor lokasi, dibalut dalam beg plastik dan dikebumikan di dalam kubur cetek.
Menurut polis, mayat berkenaan boleh dikenal pasti kemudian melalui ujian DNA sebelum digali semula untuk membolehkan keluarga menjalankan upacara pengebumian yang sewajarnya.
Dengan kemudahan penyimpanan mayat yang semakin terhad, pengebumian secara besar-besaran mula dijalankan di daerah Bharatpur, manakala sebahagian mayat di Chitwan akan dikebumikan sekurang-kurangnya buat sementara waktu di kawasan hutan di pinggir bandar.
Di Devighat, sebuah pekan di Sungai Trishuli yang musnah akibat banjir, pasukan mencari dan menyelamat masih mengeluarkan mangsa dari runtuhan rumah yang dipenuhi lumpur.
Ketika usaha pengecaman dan pencarian berterusan, kerajaan Nepal turut meminta lebih 1,000 unit peti sejuk beku bagi memastikan mayat dapat disimpan dengan selamat, terutama ketika kawasan paling teruk terjejas masih sukar diakses kecuali menggunakan helikopter tentera.- THE GUARDIAN
