KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengakui terdapat kelompangan dan masalah komunikasi yang mencetuskan polemik mengenai perancangan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu, dan mahu memastikan masalah komunikasi antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan dan pihak berkaitan tidak berulang.
“Jika ada ‘communication breakdown’ atau kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.
“Komunikasi yang baik daripada MSN, atlet dan persatuan adalah sangat penting supaya tidak berlaku sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan LA28 di Menara KBS, Putrajaya, di sini hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, keputusan untuk memberikan laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 sebenarnya telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos, selepas beliau mengarahkan badan sukan itu menilai perkara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan terdapat kelompangan tempoh dan salah faham dari segi komunikasi sebelum keputusan berkenaan disampaikan sepenuhnya kepada pelumba berusia 38 tahun itu.
Beliau berkata, surat tawaran bagi membolehkan Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 akhirnya telah dikeluarkan dua hari lepas, manakala KBS menerima maklum balas daripada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu semalam.
Mohammed Taufiq berkata bekas juara dunia itu telah bersetuju menerima tawaran berkenaan dan meneruskan khidmat bersama skuad negara dalam usaha memburu kejayaan di LA28.
“Perkara ini telah selesai. Sekarang masalahnya … apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil? Itu sekarang kita perlu optimis dan berfikiran ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata perbincangan seterusnya akan melibatkan Azizulhasni, persatuan, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperincikan bentuk bantuan serta sokongan diperlukan dalam persiapan menuju LA28.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq turut merancang mengadakan siri pertemuan dan sesi town hall bersama atlet bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih pantas.
Jumaat lepas, Azizulhasni memuat naik penjelasan sembilan muka surat di Instagram mengenai proses kelayakan ke LA28 dan masa depan kariernya, selain turut meminta jawapan jelas daripada KBS serta MSN sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi LA28.
Sehari kemudian, MSN menafikan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni, selain menegaskan ia sentiasa menyokong The Pocket Rocketman, termasuk persiapannya menuju LA28.
Azizulhasni kemudian memuat naik video memaklumkan sudah menerima surat tawaran bagi membolehkan beliau meneruskan misi ke LA28, semalam. – Bernama
