MARAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif dan teknologi untuk masyarakat menerusi penganjuran Educational Community Rehabilitation for Inclusive Biomechanics (ECoRehaB) 2.0 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Pahang, baru-baru ini.
ECoRehaB anjuran Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF) UMPSA dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) serta rakan strategik, memberi tumpuan kepada pemerkasaan rehabilitasi, teknologi bantuan dan pendidikan inklusif, khususnya dalam menyokong keperluan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah Maran.
Program tersebut menghimpunkan lebih 70 anak-anak inklusif daripada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), selain melibatkan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPD Maran, ibu bapa, penjaga, guru, pensyarah dan fasilitator.
Memuatkan artikel berkaitan…
Majlis perasmian pembukaan disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik), FTKMA UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Zairi Baharom.
Turut hadir Pengarah iNKLUSIF UMPSA, Dr. Munira Abdul Razak; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Maran Sektor Pembelajaran, Mohamad Bakri Abdul Malek; Pengarah Program ECoRehaB 2.0, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Azrul Hisham Mohd Adib serta wakil rasmi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Maran, Abdul Halim Rabu.
Antara pengisian utama program ialah pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) antara iNKLUSIF UMPSA dengan tiga PPDK di daerah Maran, iaitu PPDK Jalinan Siantan, PPDK Maran Sejahtera dan PPDK Seri Teratai.
Kerjasama tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu, penyelidikan, pembangunan teknologi bantuan serta pengukuhan ekosistem pendidikan dan rehabilitasi inklusif bagi manfaat komuniti OKU.
Program turut menyaksikan pelancaran buku OKU edisi pertama terbitan Penerbit UMPSA berjudul ‘Inovasi Pembangunan Produk Berteknologi Inklusif Mesra OKU’ yang menghimpunkan panduan pembangunan peranti pemulihan berasaskan prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design).

Buku tersebut merupakan hasil karya penyelidik UMPSA, Mohd Azrul Hisham Mohd Adib, Ts. Dr. Nurul Shahida Mohd Shalahim, Dr. Muhammad Hilmi Jalil, Idris Mat Sahat dan Munira, dengan mengetengahkan inovasi seperti PhyMILL, PhyWALK, Sonic-G, AuWRITE dan AuSPEECHY.
Peserta progran turut berpeluang mengikuti demonstrasi peralatan rehabilitasi dan aktiviti terapi berasaskan permainan yang direka bagi memberikan pengalaman pembelajaran serta rehabilitasi secara lebih interaktif dan menyeronokkan.
Penglibatan guru, fasilitator dan ibu bapa turut membantu memastikan anak-anak inklusif dapat mengikuti aktiviti mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Dua forum turut dianjurkan, iaitu Forum 1 bertajuk ‘Rehabilitasi dan Penjagaan Kesihatan OKU’ dan Forum 2 bertajuk ‘Hala Tuju Pendidikan Inklusif’, yang menampilkan ahli akademik, pakar fisioterapi, pegawai kesihatan serta pengamal pendidikan khas.
Penutup program ECoRehaB 2.0 disempurnakan oleh Penyelaras DUN Chenor, Datuk Sri Shahaniza Shamsuddin.
Turut hadir Pengarah Pusat Hubungan Komuniti UMPSA selaku wakil rasmi Naib Canselor UMPSA, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Orang Kurang Upaya (JPO) Daerah Maran, Nor Aini Abu Bakar.
Pada majlis tersebut, tiga unit Toddler Mobility Trainer (TMT) diserahkan kepada wakil PPDK, PPKI dan JKM Maran bagi memperluas akses komuniti kepada teknologi bantuan dalam menyokong perkembangan dan mobiliti anak-anak inklusif.
TMT berkenaan merupakan hasil inovasi dan kesukarelaan penyelidik daripada Human Engineering Group (HUMEN) UMPSA yang dibangunkan menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D).
Penghasilan tiga unit TMT tersebut turut mendapat sokongan Harimau3D Sdn. Bhd. menerusi penajaan bahan filamen bagi proses percetakan 3D komponen produk, sekali gus membantu merealisasikan usaha pemindahan teknologi daripada institusi pendidikan tinggi kepada komuniti.
Selain itu, Kuantan Physical Therapy Centre (KPTC) turut memberikan sokongan dan tajaan bagi menjayakan ECoRehaB 2.0, khususnya dalam aspek kepakaran fisioterapi, perkongsian ilmu serta sokongan berkaitan rehabilitasi dan penjagaan kesihatan OKU.
Kerjasama antara UMPSA, agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi komuniti dan rakan industri itu memperlihatkan pendekatan kolaboratif dalam memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurut Munira, ECoRehaB 2.0 bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi medium untuk menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan dan inovasi dengan keperluan sebenar komuniti.
“Melalui ECoRehaB 2.0, kami mahu memastikan teknologi dan hasil penyelidikan tidak hanya berada di makmal atau institusi pengajian tinggi, tetapi dapat dibawa terus kepada masyarakat, khususnya anak-anak inklusif yang memerlukan sokongan dalam aspek rehabilitasi, mobiliti dan pendidikan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Azrul Hisham berkata, pendekatan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ yang diterapkan menerusi program itu turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pengamal rehabilitasi, industri dan komuniti dalam membangunkan penyelesaian yang lebih inklusif serta bersesuaian dengan keperluan pengguna.

“Sumbangan rakan strategik seperti Harimau3D Sdn. Bhd. melalui penajaan bahan filamen bagi penghasilan TMT serta sokongan KPTC dalam aspek kepakaran dan rehabilitasi membuktikan bahawa transformasi hasil penyelidikan kepada manfaat masyarakat memerlukan ekosistem kerjasama yang kukuh,” katanya. – UTUSAN




