Kerajaan kekal keputusan tidak ekstradisi Zakir Naik ke India

Kerajaan kekal keputusan tidak ekstradisi Zakir Naik ke India

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung Zakir.

Katanya, permohonan rasmi ekstradisi daripada Kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini permohonan ekstradisi Zakir oleh Kerajaan India termasuk tarikh permohonan rasmi terkini diterima.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan sama ada dokumen dan keterangan yang dikemukakan memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian Malaysia-India, selain sama ada kerajaan memberikan sebarang komitmen mengenai ekstradisi pendakwah berkenaan.

September lalu media melaporkan kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan dan diplomatik bagi permohonan ekstradisi dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata Anwar juga digesa memperincikan isu dibincangkan serta persefahaman dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit.

Katanya, penjelasan juga perlu diberi, sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan New Delhi kepada Kuala Lumpur sudah memenuhi syarat ditetapkan undang-undang Malaysia bagi tujuan ekstradisi.

Ia susulan laporan media sebelum itu yang melaporkan isu ekstradisi Zakir yang dikehendaki di India, susulan dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, antara perkara dibincangkan dalam rundingan antara Anwar dan wakil negara itu.

Laman berita India New Delhi Television melaporkan Anwar mengesahkan perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara ‘tertutup’, dipercayai berlangsung di New Delhi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top