‘Kenapa pula saya tidak ada hak’ – Puad pertahan kritikan terhadap UMNO

JOHOR BAHRU – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan beliau mempunyai hak untuk terus mengkritik parti itu walaupun tidak lagi menjadi ahlinya.

Menurut beliau, kebebasan bersuara dan mengkritik merupakan hak setiap individu dan tindakan meninggalkan UMNO sebelum ini mempunyai sebab tersendiri.

“Ada yang bising-bising kenapa saya menyebuk pasal UMNO. Apakah hak saya nak komen pasal UMNO. Saya bukan ahli.

“Kenapa pula saya tidak ada hak? Bagaimana hak bebas bersuara? Mengkritik adalah hak individu. Bila saya keluar UMNO mestilah ada sebab musababnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Bekas Speaker DUN Johor itu menambah dirinya pernah ditegur supaya tidak ‘tembak kaki sendiri’ ketika mengkritik bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang disifatkannya sebagai ‘Raja Formula’ namun gagal melaksanakan jangkaan terhadapnya.

Menurut beliau, keadaan kini berbeza apabila pemimpin UMNO sendiri semakin terbuka mengkritik Pakatan Harapan (PH), sedangkan kedua-dua gabungan itu berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mendakwa UMNO kini semakin ‘alergik’ dengan logo DAP malah parti itu turut menurunkan papan tanda Sekretariat Kerajaan Perpaduan di tingkat 26 Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). 

“Ketika di dalam UMNO dan menjadi ahli MKT saya sering mengkritik UMNO. Tanya kawan-kawan MKT, kalau mesyuarat MKT saya orang pertama yang akan bercakap.

“Bahkan Asyraf pernah menegur saya melalui media sosial supaya jangan tembak kaki sendiri. Padahal saya hanya menegur Rafizi sebagai Raja Formula yang gagal. Rafizi menteri kerajaan perpaduan ketika itu.

“Sekarang pemimpin UMNO sendiri yang kuat tembak kaki sendiri. Sering kritik PH secara terbuka. Bahkan signboard Sekretariat Kerajaan Perpaduan di tingkat 26 WTC telah pun diturunkan. UMNO makin alergik dengan logo DAP,” tulisnya.

Mohd Puad berkata, beliau meninggalkan UMNO ketika parti itu sedang kembali kuat dan menuju ke puncak, bukannya ketika berada dalam keadaan lemah.

“Saya keluar ketika UMNO sedang kembali kuat dan menuju puncaknya. Saya tidak rugi apa-apa. Saya tidak lagi relevan dalam UMNO. “I am no longer fit for UMNO”. Baik keluar dan terus mengkritik apa yang tidak kena ketika UMNO sedang bangkit.

“UMNO adalah wadah yang bagus untuk orang Melayu. Sama macam PAS. Tetapi pemimpinnya bermasalah. Tidak konsisten. Beri muka kepada yang pandai bermuka-muka. Kerana pemimpin UMNO juga suka bermuka-muka.

“Akhirnya kemaraan UMNO tidak akan sustainable. Cuma sementara. Percayalah pemilihan akan datang UMNO akan dikuasai oleh mereka yang kaya raya, kembali guna politik wang. “Business first, perjuangan UMNO second”,” katanya lagi.

Scroll to Top