Noor Askuzaimey muncul juara dunia boccia pada hari ulang tahun perkahwinan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet boccia negara, Noor Askuzaimey Mat Salim mendapat hadiah ulang tahun perkahwinan terbaik selepas dinobatkan sebagai juara dunia dalam acara individu wanita kategori BC4 di Kejuaraan Dunia Boccia 2026 di Seoul, semalam.

Lebih manis, kejayaan bersejarah itu dilakar bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan negara yang ke-69, sekali gus membolehkan lagu Negaraku berkumandang megah di bumi Korea Selatan.

Noor Askuzaimey mengesahkan gelaran kejuaraan itu selepas menundukkan wakil Hong Kong, Yuen Cheung, dengan keputusan 5-3 pada aksi final yang mendebarkan.

Pencapaian itu nyata memadam kekecewaan lalu di Sukan Paralimpik Paris 2024 apabila beliau sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Kejayaan itu turut menyumbang pingat tunggal negara bagi kategori individu di kejohanan berkenaan.

Noor Askuzaimey mengakui tidak menyangka mampu melangkah sejauh itu dan menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

“Syukur Alhamdullilah, Allah sentiasa bersama saya dan Dia tahu apa yang saya rasakan.

“Saya sangat gembira dengan rezeki yang tidak dijangka ini. Terima kasih kepada keluarga, jurulatih, serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kejayaan ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan. Kebetulan hari ini ulang tahun perkahwinan kami, jadi sambutannya pasti lebih berseri,” katanya menerusi laman World Boccia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top