opie@mediaprima.com.my
Kumpulan Mpop, DOLLA membuka lembaran baharu dalam karier seni mereka apabila mereka buat kali pertama tampil di The A Music Festival di Paris Event Centre, Perancis, baru-baru ini.
Lebih membanggakan, persembahan mereka di pentas Eropah berkenaan turut disaksikan kira-kira 2,000 penonton tempatan selain peminat dari United Kingdom, Jerman dan Itali.
Ia sekali gus memberi peluang kepada kumpulan itu untuk berkongsi muzik mereka secara langsung menerusi persembahan 12 lagu, antaranya lagu terbaharu, UGLY, Impikan dan Bad.
Selain itu, DOLLA yang dianggotai Sabronzo, Angel dan Tabby turut menyampaikan lagu yang belum dilancarkan iaitu All Over You dan Bad Girls Like You bersama penyanyi Thailand, Tobii.
Angel berkata, persembahan debut ini menjadi pencapaian penting buat DOLLA selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras mencipta nama.
“Perasaan ini memang luar biasa dan peluang yang sangat bermakna buat kami. Selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras, akhirnya berpeluang membuat persembahan di pentas Eropah.
“Persembahan buat kali pertama ini terasa seperti satu pencapaian yang sangat besar. Saat ini pasti akan sentiasa kami kenang.
“Suasana dalam dewan terasa seperti mimpi. Itu antara kenangan yang saya harap dapat alami berulang kali,” katanya.
Sementara itu, Sabronzo berkata, sambutan penonton begitu hangat, sekali gus turut meninggalkan kesan mendalam terhadap mereka.
“Apa yang paling mengejutkan saya ialah kemesraan dan sokongan mereka yang begitu kuat. Tenaga mereka sangat menular sampai saya betul-betul tak mahu persembahan itu berakhir.
“Rasanya sangat istimewa apabila disambut dengan begitu mesra di tempat yang jauh dari rumah.”
Tabby pula berkata, persembahan itu adalah hasil persiapan rapi bersama pasukan mereka dan penerimaan penonton memang luar biasa.
“Saya sangat bangga kerana kami berjaya menjayakan persembahan yang hebat selepas mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk membuat persiapan,” katanya.
The A Music Festival adalah acara selama dua hari yang menghimpunkan artis SEA Pop dan Korea, dengan DOLLA tampil sebagai satu-satunya kumpulan dari Malaysia.
Selain festival dan sesi bertemu peminat, DOLLA turut bertemu wakil di Kedutaan Malaysia untuk membincangkan potensi kerjasama serta peluang pada masa hadapan.
Mereka juga meluangkan masa bersama kumpulan tarian yang berpangkalan di Paris dan merakam video tarian dengan Menara Eiffel sebagai latar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




