PRN Melaka: 'Faktor boleh menang, dua kerusi tambahan diserah kepada MCA' – Ab Rauf

PRN Melaka: 'Faktor boleh menang, dua kerusi tambahan diserah kepada MCA' – Ab Rauf

Alor Gajah: Faktor boleh menang serta hasil kajian teliti di lapangan menjadi asas keputusan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan dua lagi kerusi tambahan kepada MCA untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan penyerahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan Bandar Hilir itu dimuktamadkan atas semangat muafakat BN dan PN, serta kepentingan bersama demi memastikan kerusi terbabit ditandingi parti yang mempunyai potensi paling tinggi untuk menang.

Beliau berkata dengan keputusan itu, MCA kini bertanding di empat kerusi DUN, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi BN kepada 23 kerusi.

“Itu (keputusan) atas rundingan bersama, kepentingan bersama dan melihat kajian yang telah dibuat adalah lebih baik diserahkan kepada parti yang lebih berpotensi untuk memenangi kawasan berkenaan.

“Ia dipersetujui kedua-dua pihak untuk diserahkan kepada pihak MCA. Jadi, MCA ada tambahan dua kerusi, menunjukkan MCA akan bertanding empat kerusi, menjadikan Barisan Nasional bertanding 23 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang jalinan muhibah DUN Tanjung Bidara di Masjid Tanah, di sini hari ini.

Menepis dakwaan kononnya keputusan saat akhir itu didorong desakan politik daripada MCA, Ab Rauf menjelaskan perkara itu langsung tidak berbangkit kerana persefahaman sudah dicapai secara harmoni.

Beliau berkata, kematangan gabungan BN yang terjalin kukuh sejak lebih tujuh dekad membolehkan sebarang agihan kerusi diselesaikan menerusi pendekatan musyawarah keluarga.

“Itu tidak perlu diperbahaskan kerana kita sudah menyelesaikan secara kaedah berkeluarga dan kebersamaan kita sudah lebih 70 tahun,” katanya.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top