MELAKA: Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 telah dibeli setakat kelmarin, dengan 45 bakal calon sudah menjelaskan deposit bagi mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bakal calon dinasihatkan hadir lebih awal ke pusat penamaan calon bagi membolehkan dokumen mereka disemak sebelum proses penamaan bermula.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berkaitan borang atau dokumen yang boleh menyebabkan calon gagal memenuhi syarat untuk bertanding.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Berdasarkan maklumat yang kita ada sehingga malam semalam, sebanyak 189 borang telah dibeli oleh bakal calon dan daripada jumlah itu, 45 orang telah membuat bayaran deposit.
“Mereka yang sudah membuat bayaran deposit pastinya akan hadir ke pusat penamaan calon hari ini untuk bertanding dalam PRN Melaka.
“Saya menyeru semua bakal calon supaya hadir awal bagi memberi ruang kepada pihak kami membuat semakan secara lebih terperinci. Kita tidak mahu ada masalah yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau persiapan di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Stadium Hang Jebat di sini semalam.
Ramlan turut menyaksikan simulasi proses penamaan calon yang merangkumi ketibaan calon, pengisian borang dan penyerahan dokumen kepada petugas SPR.
Hari ini merupakan hari penamaan calon PRN Melaka dengan 28 pusat penamaan calon dibuka serentak di seluruh negeri bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi.
Menurut Ramlan, SPR telah membuat persiapan rapi bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, teratur dan mengikut peraturan ditetapkan.
Katanya, semua pegawai pengurus pilihan raya (RO), penolong pegawai pengurus serta pegawai yang terlibat telah diberikan latihan mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Semua RO kita mendapat latihan, termasuk pegawai-pegawai yang membantu mereka. Persediaan ini bukan dilakukan dalam tempoh singkat, sebaliknya proses latihan telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.
“Kita yakin semua pegawai yang ditugaskan mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penyokong parti politik supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman dan tertib.
Orang ramai juga dinasihatkan mengambil maklum kemungkinan penutupan atau perubahan laluan jalan raya di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan kenderaan serta mengelakkan kesesakan.
Mengenai keadaan cuaca, Ramlan berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca hari ini dijangka baik. – UTUSAN




