Humor Zahiril ikut rentak watak

Humor Zahiril ikut rentak watak

syafil.syazwan@hmetro.com.my

KEMENANGAN sebagai Pelakon Komedi TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026), baru-baru ini sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran aktor berpengalaman, Zahiril Adzim.

Mengakui pencalonan sulungnya menerusi kategori berkenaan sebagai satu kejutan, pemilik nama sebenar Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, menganggap pengiktirafan itu sebagai rezeki yang tidak dijangka.

Bagi aktor filem Libang Libu, bersaing dengan nama besar dan figura hebat dalam industri komedi tanah air seperti Amyza Aznan, Fikry Ibrahim, Issey Fazlisham dan Datuk Razak Ahmad memberi cabaran hebat buat dirinya.

“Jujurnya, saya tak sangka langsung. Ini kali pertama saya tercalon untuk Anugerah Seri Angkasa dan terus melekat untuk kategori Pelakon Komedi TV Terbaik.

“Bila lihat senarai calon lain, sebelah saya ada nama hebat. Mereka itu pelawak sebenar, manakala saya ini cuma pelakon sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon versatil ini enggan terus mendabik dada atau menganggap kemenangan itu sebagai lesen untuk menggelar dirinya pelawak.

Menurutnya, ada garisan pemisah yang cukup jelas antara pelawak pentas dan pelakon yang membawakan watak komedi mengikut tuntutan naskhah.

“Saya bukan pelawak, saya cuma pelakon yang menjayakan cerita komedi. Pada pandangan saya, ada beza besar antara pelawak dan pelakon komedi.

“Kalau tanya saya sama ada saya berkeperibadian seorang yang kelakar, saya lebih suka memastikan suasana persekitaran saya kekal ceria dan tidak stres.

“Sebagai pelakon, kita kena versatil. Komedi yang saya hasilkan adalah mengikut apa yang dituntut dalam skrip dan naskhah.

“Kalau cerita itu komedi, tugas saya adalah menyampaikan emosi dan humor itu sampai kepada penonton,” katanya.

Mengulas keperibadiannya yang mudah mesra dan suka berjenaka, pelakon drama Ramadan I Miss You ini mengakui sifat suka menghiburkan orang sudah lama sebati dalam dirinya iaitu sejak dari zaman persekolahan lagi.

Sifat bersahaja itu turut dibawa ke lokasi penggambaran demi mewujudkan suasana kerja yang santai dan kondusif bersama tenaga kerja lain.

“Saya suka berjenaka kat luar, itu sahaja. Saya tak suka suasana sekeliling saya tegang atau stres. Kalau berada di set penggambaran pun, saya suka berjenaka sebab tak nak tengok muka semua orang ketat.

“Sebab itu saya cuba ceriakan suasana, sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri. Bila kita nak bawa watak atau cerita drama sedih-sedih, sekurang-kurangnya kita tak rasa tertekan,” katanya.

Mengagumi anak seni hebat seperti Sabri Yunus dan Allahyarham Jalil Hamid, Zahiril menjadikan perjalanan seni tokoh berkenaan sebagai sumber inspirasi untuk terus mekar dalam pelbagai genre lakonan.

“Bila kita lihat figura seperti Sabri Yunus dan Allahyarham Jalil Hamid, mereka ini orang yang saya pandang tinggi.

“Mereka boleh bawa watak serius dengan cemerlang dan pada masa sama boleh berlakon komedi dengan amat berkesan.

“Bagi pelawak sebenar pula, contohnya kawan-kawan pelawak saya, mereka di luar kamera sebenarnya orang yang sangat serius kerana kerja hakiki mereka adalah membuat lawak,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya terbaharunya, Zahiril kini rancak membuat persiapan untuk melangkah ke fasa baharu menerusi kerusi pengarahan dan bakal mengarahkan sebuah filem aksi komedi bertajuk Gagalis yang dijangka mula menjalani penggambaran pada November ini.

“Insya-Allah, saya bakal mengarah filem aksi komedi bertajuk Gagalis, tak lama lagi. Ini projek arahan solo pertama saya untuk filem komedi.

“Sebelum ini saya pernah bertindak sebagai pengarah bersama (co-director) bersama Adrian Teh.

“Walaupun sibuk dengan tugasan pengarahan, saya tak ada masalah untuk terus berlakon dalam naskhah komedi selepas ini. Asalkan karya itu menarik, saya buat sahaja untuk kepuasan diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top