lokman.khairi@hmetro.com.my
Serdang: Malaysia dan Thailand kini dalam fasa rundingan akhir bagi memuktamadkan status sekatan import terhadap lima spesies udang akuakultur dan siakap dari negara jiran itu.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, rundingan itu kini berada pada fasa akhir selepas beberapa proses penilaian dan pemeriksaan bersama dilaksanakan oleh pasukan teknikal kedua-dua negara.
Menurutnya, DOF akan mengemukakan syor dan pandangan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menentukan hala tuju seterusnya berhubung status sekatan import berkenaan.
“Kita sudah selesai membuat semakan borang soal selidik membabitkan Malaysia dan Thailand bagi mendapatkan maklumat mengenai status penternakan udang, keadaan dan situasi ladang, amalan serta kaedah penternakan yang dilaksanakan di kedua-dua negara.
“Pada awal Ogos lalu, kita sudah laksanakan pemeriksaan secara maya terhadap ladang dan kemudahan berkaitan industri akuakultur di Thailand membabitkan siakap dan udang.
“Secara umumnya, kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil pemeriksaan terhadap ladang ternakan masing-masing,” katanya selepas merasmikan aplikasi berkenaan di Laman Perikanan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
Sejak 1 Jun lalu, Malaysia memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang.
Sekatan sementara itu membabitkan spesies Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang kaki merah/putih), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pemeriksaan bukan sahaja membabitkan ladang ternakan, malah turut merangkumi pusat penetasan benih udang serta makmal bagi memastikan prosedur analisis yang dilaksanakan kedua-dua negara memenuhi keperluan ditetapkan.
“Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada analisis berkaitan penyakit ikan dan udang serta aspek keselamatan makanan, termasuk penggunaan bahan kimia yang tidak dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983.
“Kita turut memeriksa makmal mereka dan mereka memeriksa makmal kita untuk melihat analisis yang dilaksanakan, termasuk analisis penyakit ikan dan udang serta kesihatan manusia.
“Sekarang kita sedang menunggu pihak Thailand untuk mengadakan rundingan akhir bagi menentukan proses ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

