am@hmetro.com.my
Sungai Siput: Lokasi tarikan pelancongan Jabatan Victoria Kuala Kangsar dekat Enggor di sini, ditutup kepada orang ramai susulan kejadian kanak-kanak berusia tiga tahun maut akibat jatuh daripada ketinggian lima meter di jambatan itu semalam.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, bagaimanapun penutupan itu tidak membabitkan keseluruhan kawasan jambatan berusia lebih 100 tahun itu sebaliknya hanya membabitkan penutupan akses masuk ke bahagian struktur besi jambatan.
Menurutnya, langkah keselamatan terhadap jambatan yang juga aset milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu diambil oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) yang turut membantu dari aspek penyelenggaraan kawasan itu memandangkan ianya salah satu produk pelancongan dan warisan sejarah tempatan.
Sandrea berkata, penutupan bahagian struktur besi itu bersifat sementara iaitu sehingga kerja penggantian kayu landasan yang sudah usang dan reput selain langkah keselamatan tambahan dapat dilaksanakan dan disahkan sesuai untuk kembali dibuka semula.
“Penutupan ini tidak membabitkan keseluruhan kawasan Jambatan Victoria kerana kawasan luar serta bahagian struktur batu masih dibuka dan boleh dilawati oleh pengunjung,” katanya sewaktu dihubungi hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kanak-kanak, Abdul Rafee Abdul Halim, 3, meninggal dunia selepas terjatuh daripada ketinggian lima meter di Jambatan Victoria, di sini sekitar 6.30 petang semalam ketika bersama bapanya sewaktu itu berada di atas jambatan berkenaan.
Sandrea berkata, pemantauan terhadap jambatan itu sememangnya dibuat dari semasa ke semasa oleh MPKK, dengan pemeriksaan fizikal terakhir di tapak itu dilakukan pada 30 Jun lalu.
Katanya, permohonan peruntukan juga sudah dibuat sebelum ini bagi kerja penyelenggaraan termasuk penggantian kira-kira 60 kayu landasan yang sudah usang.
Katanya, sebagai langkah segera MPKK kini sedang mendapatkan peruntukan sekitar RM50,000 bagi pemasangan jaring keselamatan di bahagian bawah jambatan sementara menunggu peruntukan bagi kerja pembaikan lain.
“Susulan kejadian ini, aspek keselamatan keseluruhan tapak juga akan diberi perhatian bersama pihak berkaitan bagi menentukan langkah penambahbaikan yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, tinjauan wartawan di lokasi hari ini mendapati jambatan ikonik berkenaan ditutup kepada pelancong atas faktor keselamatan apabila kawasan kejadian dipasang dengan pita larangan melintas milik MPKK serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, tinjauan mendapati jambatan itu yang dahulunya jambatan kereta api dalam keadaan sangat uzur apabila hampir semua bahagian bongkah atau kayu melintang di bawah rel yang menjadi bantalan landasan sudah reput termasuk di titik lokasi mangsa jatuh.
Jambatan Enggor yang lebih dikenali sebagai Jambatan Victoria (Victoria Bridge), ialah jambatan kereta api bersejarah berusia 126 tahun yang terletak di kawasan pekan Karai–Enggor, Kuala Kangsar merentangi sepanjang melintasi Sungai Perak sepanjang kira-kira 300 meter.
© New Straits Times Press (M) Bhd

