sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur (KL) City FC terpaksa mengharapkan sepakan penalti untuk menumbangkan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Perak FA 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang tadi.
Malah, skuad bimbingan Datuk Dollah Salleh itu bergelut untuk memecah kebuntuan sekalipun memiliki kelebihan seorang pemain untuk sebahagian besar babak kedua.
Ia berikutan Perak FA terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-60 selepas Muhammad Firdaus Ahmad Fuad dilayangkan kad merah.
Perak FA jelas bertahan dengan baik sehinggalah saingan masa sebenar berbaki lima minit sebelum kesilapan Nik Umar Nik Azizi menjatuhkan Muhamad Baqiuddin dalam kotak penalti.
Tindakan itu menyaksikan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat pelawat dan disempurnakan tanpa masalah oleh kapten, Paulo Josue.
Keputusan itu membolehkan skuad Warga Kota membawa bekalan satu gol menuju aksi kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 September ini.
Bagaimanapun, defisit satu gol ini turut membuka peluang kepada Perak FA untuk mencipta kejutan pada aksi di tempat lawan nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd
