Terus giat kerjasama ekonomi dengan Jepun

PERDAGANGAN dua hala antara Malaysia dan Jepun meningkat 11.8 peratus kepada AS$23.3 bilion (RM93.9 bilion) bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, Jepun terus kekal sebagai salah satu rakan dagang dan pelabur penting untuk Malaysia, disokong oleh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara selama beberapa dekad.

“Pelaburan ini membawa masuk kepakaran teknologi dan pengurusan, memperkukuh rantaian bekalan domestik, mewujudkan peluang untuk perniagaan tempatan dan membantu menghubungkan Malaysia ke dalam rangkaian pembuatan global,” kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Bersama MAJECA-JAMECA ke-43 di sini, semalam.

MAJECA ialah Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun, manakala JAMECA merupakan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia.

Johari berkata, Malaysia berhasrat untuk terus menggiatkan dan memperdalam kerjasama ekonominya dengan Jepun.

“Kami mahu memulihkan dan melangkaui tahap aspirasi, intensiti dan keyakinan yang pernah menentukan hubungan Malaysia-Jepun.

“Ini bukan bermaksud membina semula model masa lalu, tetapi menyesuaikannya untuk memenuhi peluang di masa depan,” katanya.

Menteri itu berkata, terdapat kesalinglengkapan yang kukuh antara keutamaan ekonomi Malaysia dan Jepun, dengan kedua-dua negara memberi tumpuan kepada ekonomi, sekuriti makanan dan tenaga serta daya tahan rantaian bekalan kritikal.

Beliau berkata, dalam hal ini, Jepun boleh memanfaatkan peluang yang sedang pesat membangun di ASEAN dan peralihan tenaga Malaysia dengan menyokong pengembangan tenaga boleh baharu, teknologi tenaga baharu dan infrastruktur yang bersedia untuk masa depan.

“Kita juga mahu syarikat tempatan membangunkan keupayaan teknologi mereka sendiri dan kita mahu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menjadi pembekal bukan sahaja kepada syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia, tetapi kepada rantaian bekalan di seluruh dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top