zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) menyifatkan pendekatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turun padang sendiri merasai pengalaman sebagai penghantar p-hailing sebelum mengumumkan beberapa inisiatif wajar dijadikan contoh oleh kerajaan negeri lain.
Pemangku Presiden LEAD Malaysia, Saif Arman Shah Mohamad berkata, pekerja gig adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi negeri dan bukan sekadar kumpulan yang diberi perhatian ketika berlaku isu tular, kemalangan atau menjelang pilihan raya.
Menurutnya, perkara paling penting bukan sekadar tindakan seorang pemimpin menunggang motosikal atau menghantar pesanan kepada pelanggan sebaliknya apa yang dilakukan selepas beliau merasai sendiri realiti pekerjaan itu.
“Pengalaman berkenaan diterjemahkan kepada tindakan apabila Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan perancangan subsidi penyelenggaraan motosikal sekitar 20 hingga 30 peratus bagi membantu lebih 3,000 penghantar p-hailing selain meneliti peluasan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta kemudahan yang lebih sesuai untuk komuniti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Saif Arman Shah berkata, pendekatan turun ke lapangan, memahami realiti pekerja dan menterjemahkan maklum balas kepada dasar serta penyelesaian adalah perkara yang perlu dilihat lebih banyak daripada kerajaan negeri.
Katanya, pekerja gig berada di jalan raya setiap hari termasuk ketika hujan dan cuaca panas malah terus bekerja ketika sebahagian besar masyarakat bercuti dengan menghantar makanan, membawa penumpang serta membantu memastikan aktiviti ekonomi bandar terus bergerak.
“LEAD Malaysia berpandangan pekerja gig perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi negeri, bukan sekadar kumpulan yang dipanggil menghadiri program atau menerima bantuan sekali-sekala,” katanya.
Beliau berkata, bantuan seperti subsidi penyelenggaraan, perlindungan sosial dan kemudahan rehat penting kerana ia menjawab keperluan pekerja gig ketika ini, namun berharap kerajaan juga dapat mengambil kira persoalan yang lebih besar tentang masa depan mereka.
“Matlamat dasar tidak seharusnya sekadar memastikan seseorang boleh kekal dalam ekonomi gig selama yang mungkin sebaliknya memastikan mereka yang bergantung kepada pekerjaan gig mendapat perlindungan sewajarnya dan mempunyai pilihan untuk bergerak kepada peluang ekonomi yang lebih baik apabila bersedia,” katanya.
Menurut Saif Amran Shah, pekerjaan gig sememangnya menjadi pilihan bagi sesetengah individu kerana fleksibilitinya termasuk sebagai sumber pendapatan tambahan, peluang untuk pesara terus menjana pendapatan atau pilihan kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab keluarga dan tidak mampu terikat kepada pekerjaan konvensional.
Namun katanya, bagi mereka yang terpaksa bergantung kepada ekonomi gig kerana kekurangan pilihan lain, kerajaan perlu membantu membuka lebih banyak laluan melalui peningkatan kemahiran yang disambungkan kepada peluang pekerjaan sebenar, kemahiran yang mendapat permintaan pasaran serta peluang keusahawanan.
Dalam jangka panjang, katanya, sistem pengangkutan awam yang lebih cekap juga sebahagian daripada penyelesaian bagi memberikan rakyat lebih banyak pilihan untuk bergerak ke tempat kerja, mendapatkan pekerjaan di kawasan lain dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian yang membabitkan kos pemilikan, penyelenggaraan serta bahan api.
Saif Amran Shah berkata, kerajaan negeri lain boleh membangunkan pendekatan masing-masing berdasarkan struktur ekonomi dan keperluan setempat melalui kerjasama bersama persatuan, komuniti pekerja gig, syarikat platform, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Semalam, Ab Rauf menyarung jaket p-hailing dan merasai sendiri pengalaman menjadi penghantar makanan termasuk menerima pesanan serta membuat penghantaran makanan ke rumah pelanggan di kawasan Pengkalan Balak sebelum berakhir di Pekan Masjid Tanah.
Selepas itu beliau meluangkan masa menyantuni hampir 30 ‘rider’ di Pit Stop Masjid Tanah.tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd
