PM perlu jelaskan dakwaan banyak tunggakan bayaran kontraktor KKDW – Fadhli Shaari

SHAH ALAM – Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk memberikan penjelasan terbuka berhubung dakwaan banyak tunggakan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu adalah satu perkara yang agak mengejutkan.

Menurutnya, sudah tentu isu tersebut sudah sampai ke peringkat yang sangat serius sehingga Timbalan Perdana Menteri sendiri selaku menteri yang berkaitan terpaksa menyebutnya secara terbuka.

“Inilah kali pertama rakyat menyaksikan bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri menyebut isu berkaitan urus tadbir khusus di bawah Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri tanpa berselindung lagi.

“Rakyat sedang menyaksikan drama ini dengan penuh bimbang. Adakah kerajaan sebenarnya sedang berkonflik sesama sendiri?

“Kenapa Menteri Kewangan memilih untuk menangguhkan bayaran yang sepatutnya diselesaikan segera ini khususnya apabila ia melibatkan kementerian yang paling dekat dengan rakyat luar bandar?” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah KKDW, sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka, mengundang rasa tidak puas hati kepada Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri mendedahkan, masih ada sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah KKDW dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.

Tegasnya, keadaan itu memberi kesan lebih besar apabila kontraktor berdepan masalah aliran tunai, termasuk ada yang terpaksa menutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.

Tambah Ahmad Fadhli, hanya ada dua kemungkinan yang kedua-duanya membimbangkan.

Jelasnya, pertama, kerajaan sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius sehingga mengganggu aliran tunai (cash flow) atau yang kedua sengaja menangguhkan bayaran.

” Ia sebagai satu bentuk gangguan terhadap kementerian yang diketuai oleh Presiden UMNO atas alasan yang semua pihak boleh membacanya khususnya selepas Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Jangan sabotaj kerajaan sendiri. Sekalipun kerajaan madani sudah berada di hujung tanduk, tetapi selagi mandat masih berbaki, pentadbiran negara perlu berjalan dengan sempurna demi kebaikan rakyat tanpa mengira warna bendera politik.

“Kecuali jikalau kerajaan Madani sudah tiada minat lagi untuk mentadbir negara, serahkan kembali mandat kepada rakyat,” ujarnya.

Scroll to Top