Penerima projek Jana Wibawa salur RM25.3 juta ke akaun BERSATU – SPRM

Penerima projek Jana Wibawa salur RM25.3 juta ke akaun BERSATU – SPRM

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sejumlah RM25.3 juta disalurkan ke dalam akaun BERSATU oleh individu serta syarikat yang dikenal pasti memperoleh projek menerusi Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Penerima projek Jana Wibawa salur RM25.3 juta ke akaun BERSATU – SPRM

Foto: Bernama

Memetik laporan Berita Harian, Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat Bahagian Operasi Khas SPRM, Mazery Mohd Zaini ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Muhyiddin sedang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan projek Jana Wibawa.

Mazery, yang merupakan saksi pendakwaan ke-29, berkata jumlah RM25.3 juta itu dikesan menerusi transaksi melibatkan KCJ Engineering Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd, selain pengarah KCJ Engineering, Datuk Seri Azman Yusoff.

Beliau yang kini memegang jawatan Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM, berkata penelitian terhadap akaun BERSATU di CIMB Bank dan AmBank mendapati Muhyiddin merupakan antara individu yang mempunyai kawalan terhadap akaun tersebut.

“Saya dapat membuat kesimpulan bahawa hasil semakan terhadap akaun-akaun bank BERSATU ini terdapat individu dan syarikat yang berjaya mendapat projek Jana Wibawa, memasukkan wang ke dalam akaun milik BERSATU yang mana akaun ini dikawal oleh tertuduh.
“Jumlah keseluruhan transaksi mulai 22 September 2021 hingga 22 November 2022 adalah sebanyak RM25.3 juta,” katanya menerusi pernyataan saksinya.

Dalam keterangannya, Mazery turut memaklumkan siasatan mendapati wang berkenaan tidak dikategorikan sebagai sumbangan politik.

Artikel lain: Hadi Awang sifatkan hubungan PAS-BERSATU di hujung tanduk, akui pintu damai tertutup

Sebaliknya, wang tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan Muhyiddin membantu syarikat-syarikat terbabit memperoleh projek di bawah Jana Wibawa.

“Wang yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat ini bukanlah sumbangan politik sebaliknya sebagai balasan kepada tindakan tertuduh yang membantu mereka mendapatkan projek itu dan bukan suatu kebetulan,” tambahnya lagi.

Sumber: Berita Harian (Suraya Roslan)

Scroll to Top