Penguat kuasa perlu kuasai AI sebelum penjenayah – Saifuddin

BANGI: Agensi penguatkuasaan perlu segera menguasai teknologi kecerdasan buatan generatif (Generative AI) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan berbanding penjenayah yang turut memanfaatkan teknologi berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak yang lebih pantas menguasai AI akan mempunyai kelebihan sama ada dalam aspek penguatkuasaan mahupun melakukan jenayah.

“Siapa yang menang dalam pertarungan berjaya menguasai generatif AI ini, dialah yang berjaya.

“Kalau penguat kuasa yang dapat menguasainya dengan cepat, maka ada kelebihan. Begitu sebaliknya kalau penjenayah yang cepat menguasainya, merekalah yang akan dapat `memakan’ lebih banyak mangsa,” kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebingkasan Siber 2026 Kali Ke-6, di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, kerajaan khususnya agensi penguatkuasaan perlu segera menerima penggunaan AI dan tidak sekadar menjadi pemerhati kepada perkembangan teknologi tersebut.

“Semua pihak dalam negara kita, kerajaan lebih-lebih lagi, sikap yang betul adalah segera menerima AI.

“Jangan jadi penonton tepi. AI ini pengubah keadaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi itu perlu dimanfaatkan dalam kalangan pembuat dasar dan agensi penguatkuasaan bagi berdepan penjenayah yang semakin canggih.

Katanya, cabaran itu turut melibatkan sindiket jenayah rentas sempadan yang bergerak pantas dalam memanfaatkan perkembangan teknologi AI ini. 

Mengulas lanjut, katanya, perkembangan teknologi AI juga berlaku dengan pantas apabila alatan baharu boleh muncul dalam tempoh beberapa hari.

Bagaimanapun, katanya, generatif AI masih baharu dan keadaan itu bermakna agensi penguatkuasaan belum terlalu jauh ketinggalan dalam menguasai teknologi tersebut.

“Generatif  AI ini masih baharu. Kita belum jauh ketinggalan lagi.

“Ketika pelaku jenayah itu sudah menguasainya, kita tidak boleh berada di takuk lama. Kalau tidak dapat mengatasi pun, mesti setaraf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati tahap kesediaan warga kementerian itu untuk menerima penggunaan AI berada pada 75 peratus.

Katanya, penilaian itu turut merangkumi agensi penguatkuasaan di bawah KDN termasuk Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Penjara.

“Secara keseluruhan tahap kesiapsiagaan kami adalah 75 peratus. Ini setakat tiga tahun lalu apabila saya minta Bahagian Dasar KDN membuat tinjauan.

“Apakah saya sudah berpuas hati? Tentulah keseluruhannya belum sebab saya masih nampak banyak ruang lagi. Apakah kita bergerak ke arah itu? Ya. Apakah kita bersedia, komitmen itu? Jawapannya ya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top