lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: MERCY Malaysia menghantar pasukan kemanusiaan ke Nepal untuk menilai situasi dan keperluan mangsa terjejas banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negara itu pada 26 Ogos lalu.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, buat masa ini, daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Chitwan, antara yang dikenal pasti terjejas teruk.
Menurutnya, keutamaan pasukan berkenaan merangkumi operasi mencari dan menyelamat, tempat perlindungan kecemasan, makanan, air bersih dan sanitasi, penjagaan kesihatan, perlindungan serta sokongan kesihatan mental dan psikososial.
“Banyak mangsa dipercayai masih terputus hubungan susulan kerosakan jalan raya, jambatan dan limpahan puing yang meluas, ini menjadikan usaha memulihkan akses sebagai perkara kritikal supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan.
“Perhatian khusus akan diberikan kepada keluarga yang terpaksa berpindah, kumpulan rentan dan keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“MERCY Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti terjejas bagi memastikan sebarang intervensi adalah berasaskan keperluan, teratur dan peka terhadap perkembangan situasi semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, misi kemanusiaan kekal dinamik dan keperluan mungkin berubah selari dengan peningkatan akses serta penilaian lanjut yang dijalankan.
“MERCY Malaysia akan terus memantau perkembangan secara rapat dan menentukan fasa respons seterusnya berdasarkan dapatan penilaian serta koordinasi bersama pihak berkuasa berkaitan dan rakan pertubuhan kemanusiaan.
“Dalam masa sama, kami menyeru tindakan kolektif dan solidariti berterusan diberikan bagi menyokong komuniti yang terjejas akibat banjir ekstrem ini.
“Setiap sumbangan dapat membantu menyelamatkan nyawa, mengembalikan semangat dan menyokong keluarga terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
