KELANTAN City FC belum selesa dengan kelebihan dua gol selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Penolong Jurulatih Kelantan City, Wanderley Machado Da Silva Junior berkata, pasukannya masih mempunyai 90 minit untuk diharungi pada aksi timbal balik di gelanggang lawan dan kemenangan itu bukan jaminan untuk untuk mara ke suku akhir.
“Negeri Sembilan adalah pasukan besar dengan pemain yang berkualiti dan kami mesti menghormati mereka. Kami tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan ini kerana bermain di tempat lawan nanti sudah pasti mereka akan memberikan tekanan sepenuhnya bagi menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.
Wanderley berkata, pemain perlu bersedia menghadapi tekanan pada aksi timbal balik selain mengekalkan momentum kemenangan bagi memastikan Kelantan City memperoleh slot ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini.
Beliau berkata, kemenangan itu banyak dibantu motivasi dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang perlawanan.
“Saya berharap mereka dapat mengekalkan prestasi ini dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain dalam saingan Liga Semi-Pro musim ini bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut meminta pemain kekal fokus dalam menghadapi saingan Liga Semi-Pro yang masih panjang serta aksi timbal balik menentang Negeri Sembilan, dan menjadikan kemenangan itu sebagai motivasi untuk mencatatkan keputusan positif.
“Sebagai jurulatih sudah tentu berasa gembira dapat menewaskan pasukan yang berpengalaman beraksi di Liga Super, sedangkan pasukan kami baru dibentuk dan hanya beraksi di saingan Liga Semi-Pro. Pemain membuktikan bahawa mereka layak bersaing di peringkat lebih tinggi sekiranya mereka bermotivasi dan bermain dengan penuh semangat untuk menang,” katanya. – Bernama

