Minta 'duit kopi' RM200: Pemuda Kampung Morten mohon maaf

am@hmetro.com.my

Melaka: Dakwaan seorang individu meminta ‘duit kopi’ RM200 selepas membantu mendapatkan semula telefon bimbit hilang mencetuskan permohonan maaf daripada Pemuda Kampung Morten.

Ketua Pemuda Kampung Morten Ahmad Safwan Salim berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan memahami kebimbangan serta ketidakselesaan yang timbul susulan isu terbabit.

Menurutnya, satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Melaka Tengah, jam 6.56 petang semalam, dan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan, kebimbangan serta ketidakselesaan yang timbul dan amat kesal dengan insiden ini.

“Laporan polis juga sudah dibuat dan kami menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dihubungi hari ini.

Tambah beliau, Pemuda Kampung Morten akan berusaha membantu menangani perkara itu serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan masyarakat serta pengunjung kampung berkenaan terus terpelihara.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita mendakwa menjadi mangsa seorang lelaki yang menawarkan bantuan selepas telefon bimbitnya hilang ketika berada di sekitar Sungai Melaka sebelum lelaki terbabit meminta duit kopi RM200.

Menurut dakwaan wanita itu, kejadian berlaku ketika dia sedang duduk di bangku di tepi sungai bersama ibunya sebelum menyedari telefon bimbitnya hilang.

Katanya, tidak lama kemudian, seorang lelaki menghampirinya dan mendakwa melihat seseorang mengambil telefon berkenaan sebelum memaklumkan rakannya sedang mengejar individu terbabit.

Wanita itu mendakwa, lelaki terbabit kemudian membawanya ke satu lokasi sebelum menyerahkan semula telefon bimbitnya, namun meminta RM200 sebagai duit kopi.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian beberapa pengguna media sosial lain yang mendakwa pernah berdepan dengan individu sama.

Seorang pengguna mendakwa pernah mengalami kejadian apabila barang niaga milik kakaknya hilang sebelum ditemukan selepas didakwa dijual kepada penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas mengesahkan, setakat ini, mangsa belum membuat laporan polis berkaitan insiden tular berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top