Ruang buat penggiat seni bersaing lebih hebat bersama karya berkualiti

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bagi mengiktiraf karya dan penggiat seni tempatan, wajar diadakan majlis anugerah sama ada pemenang ditentukan secara penilaian juri profesional atau undian peminat dalam talian (online).

Sebagaimana tahun lalu, kini penganjuran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 kembali lagi untuk mengiktiraf selebriti dan karya yang menyerlah berdasarkan populariti masing-masing.

Menerusi 16 kategori keseluruhan dipertandingkan, selebriti mana yang akan berjaya menjadi pemenang atas pilihan peminat dengan pengaruh terkenal, diminati dan disayangi ramai?

Sebanyak tujuh kategori baharu turut diperkenalkan pada edisi AMT 2026 kali ini yang ditambah sebagai usaha memperluas ruang pengiktirafan kepada selebriti dan karya dipertandingkan.

Antara kategori itu ialah Lagu Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat.

Manakala, sembilan kategori sedia ada seperti Rising Star Terhangat, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat dan Tonton Original Terhangat.

Semua kategori dan barisan calon tersenarai untuk undian AMT 2026 sudah diumumkan pada majlis pelancaran digital ‘Malam Start Menekan!’ di TikTok Melodi Terhangat, baru-baru ini.

Pelawak dan pengacara, Sharif Zero, 36, berkata dia tidak sangka dicalonkan dalam kategori Selebriti Fit Terhangat kerana minat bersukan dan sekarang aktif bermain pickleball.

“Terima kasih dan gembira bila tahu nama saya dicalonkan dalam satu kategori. Apapun, menang anugerah atau tidak, itu adat bertanding dan saya okay sahaja sebab ini juga satu pencapaian.

“Ada ramai selebriti yang kita tahu aktif bersukan. Jadi apabila nama saya ada dalam 10 calon tersenarai, Alhamdulillah dah bagus sangat. Cuma, tengoklah kalau ada rezeki menang.

“Apa yang pasti, keputusannya kepada peminat untuk siapa mereka nak pilih untuk terimanya (anugerah). Bagi saya, hanya mampu berterima kasih atas sokongan sudah diberikan selama ini,” katanya.

Selain Sharif, calon lain ialah Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Alif Satar, Elfira Loy, Johan Ghazali, Ikmal Amry, Cik Manggis, Sharifah Sakinah dan Khairy Jamaluddin (KJ).

Bagi penyanyi, Layla Sania, 24, menyifatkan rezeki dia dicalonkan dalam AMT 2026 untuk kategori Selebriti Mandarin Terhangat cukup bermakna dengan pelbagai persembahan karnival di tanah air hingga ke China.

“Alhamdulillah, aktiviti nyanyian saya pada tahun ini agak padat di Malaysia dan juga China kerana undangan persembahan nyanyian diterima. Saya bersyukur semakin dikenali pada kalangan masyarakat Cina.

“Rezeki dan kerja keras saya dengan kemahiran berbahasa Mandarin yang dimiliki sejak kecil membawa saya menembusi pasaran muzik di luar negara seperti Asia. Terima kasih kepada semua peminat,” katanya.

Ujar Layla Sania, meskipun sudah lapan tahun dia menceburi karier nyanyian sejak 2018, tetapi kehadirannya menempa nama di persada industri masih baharu dan perlu dapat banyak peluang.

Malam kemuncak AMT 2026 dengan tema ‘Power’ dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober depan serta disiarkan di TV3 dan platform penstriman Tonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top