MUKADIMAH
DI ambang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kepemimpinan Pas dilihat bersungguh-sungguh membawa agenda perpaduan ummah termasuk kembali membuka ruang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Justeru itu, timbul tanggapan pendekatan politik Pas tersebut bermusim dan sekadar penyatuan menjelang pilihan raya.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH mendapatkan pandangan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, PROF. MADYA DR. WAN MAT SULAIMAN berhubung perkara berkenaan. Tokoh akademik dan agamawan itu turut berkongsi pandanganya mengenai penganjuran Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan, hujung minggu ini.
Komen tentang muktamar kali ini ketika PRU16 semakin hampir?
Muktamar adalah medan utama bagi Pas melakukan muhasabah dan membahaskan gerak kerja penting parti untuk tahun akan datang berdasarkan ucapan dasar Presiden. Muktamar juga dijadikan medan untuk diputuskan dasar-dasar tertentu. Maka sudah tentu ia menjadi medan penting bagi Pas membicarakan kesiapsiagaan menghadapi PRU16, sama ada untuk bergerak secara solo atau mengadakan kerjasama atau persefahaman dengan parti lain terutama BN.
Mengapa Pas bersungguh-tungguh perpaduan ummah?
Saya lihat agenda ini sangat penting bukan sahaja untuk memenangi PRU16, malah bagi mengembalikan dominasi Melayu Islam yang merupakan penduduk asal dan kaum majoriti Malaysia. Saya sangat yakin bahawa dominasi Melayu Islam dalam politik dan pengurusan negara akan membawa kemakmuran dan keamanan sebenar negara ini. Insya-Allah ia mampu mengembalikan suasana kondusif dan sesuai dengan kedudukan sebenar negara dari sudut demografi, agama, budaya dan sejarahnya.
Adakah penyatuan politik sekadar bermusim menjelang pilihan raya?
Agenda ini sudah lama dipelopori Pas bermula dengan Muafakat Nasional sehingga hari ini. Kita yakin bahawa penyatuan ummah dan kesefahaman poliltik sudah menjadi satu tuntutan besar kepada semua parti Melayu Islam bagi mengembalikan kuasa politik dan memerintah negara, sekali gus mampu mengekalkan identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Apa jaminan kerjasama UMNO dan Pas tidak berkubur semula?
Tidak bererti Pas dan UMNO sudah tidak boleh duduk semeja lagi kerana terdapat banyak titik persamaan. Bila diwujudkan kesefahaman, ia melahirkan satu perubahan politik besar dalam negara ke arah yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Suasana politik dalam negara kita banyak berubah. Jadi semua Melayu Islam ini perlu berubah sesuai dengan keperluan dan tuntutan semasa bagi mengekalkan identiti negara ini sebagai sebuah negeri Islam yang majmuk.
Harapan sempena muktamar kali ini?
Saya yakin bahawa akar umbi sentiasa berharap muktamar kali ini mampu berjalan dengan baik dan para perwakilan berbahas dengan matang, memberi pandangan dengan penuh profesiona serta dapat melahirkan satu gagasan baharu yang utuh bagi memastikan agenda penyatuan ummah dapat direalisasikan dengan berjaya.
