Kontroversi boleh menarik perhatian, tetapi perlu mempunyai batasan – Hans Isaac

PETALING JAYA: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menasihatkan pengkarya perlu meletakkan batasan dalam berkarya bagi memastikan kandungan yang dihasilkan tidak menjejaskan sensitiviti dan keharmonian masyarakat.

Menurut Hans, meskipun pengkarya diberikan kebebasan untuk meneroka pelbagai isu, mereka perlu memahami realiti Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, budaya dan latar belakang.

“Kita berada di sebuah negara yang sememangnya mempunyai kebebasan. Namun, kebebasan itu perlu dijaga kerana kita hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat unik. Kita mempunyai masyarakat dengan budaya dan latar belakang yang berbeza, jadi perkara itu perlu dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hans berkata demikian ketika ditemui di sidang media Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem di Menara Finas, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan susulan terhadap kontroversi Madu Atau Racun, Hans tidak menolak bahawa elemen kontroversi mampu menarik perhatian masyarakat terhadap sesebuah karya.

“Pada pandangan saya, kita perlu faham bahawa kontroversi memang boleh menarik perhatian. Perkara yang biasa atau topik sederhana mungkin kurang mendapat perhatian orang ramai.

“Sebaliknya, apabila sesuatu perkara itu kontroversi, bercanggah atau mempunyai unsur negatif, media akan menulis mengenainya dan orang ramai pula mahu membaca. Mungkin elemen seperti itu digunakan untuk mendapatkan rating dan menarik perhatian penonton,” jelasnya.

Bagaimanapun, Hans berpandangan keputusan kreatif sesebuah juga produksi perlu dihormati, namun kebebasan tersebut harus bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Itu merupakan keputusan kreatif pihak penerbit dan kita perlu menghormatinya. Tetapi pada masa sama, kita perlu memahami bahawa kita berada di sebuah negara bernama Malaysia yang mempunyai rakyat daripada pelbagai budaya dan latar belakang.

“Kita perlu menghormati perkara itu. Kita perlu mempunyai batasan tertentu. Dari segi kreativiti dan bagaimana mahu menyampaikan sesebuah cerita, sebenarnya ada pelbagai pendekatan yang boleh digunakan. Jadi, ada banyak pilihan dan cara untuk menjadi kreatif dalam menyampaikan sesebuah cerita,” katanya.

Pada masa sama, Hans mengingatkan penyampaian sesuatu isu secara terbuka mampu memberi kesan terhadap hubungan dalam kalangan masyarakat sekiranya tidak dikendalikan dengan berhati-hati.

“Sekiranya sesuatu perkara disampaikan secara terlalu langsung, perkara itu mungkin boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat di Malaysia dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.

“Kita sudah berada dalam keadaan yang baik di Malaysia pada hari ini. Jadi, mengapa kita mahu menjejaskan keharmonian yang sudah kita miliki?” ujarnya.

Scroll to Top