safeek@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki Malaysia ditahan Jabatan Kastam Chennai, India, selepas cuba menyeludup 3.452 kilogram (kg) ganja hidroponik bernilai kira-kira 1.20 crore (RM520,000) ke negara berkenaan, 31 Ogos lalu.
Menurut laporan United News of India (UNI), suspek warga emas berusia 62 tahun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna, Chennai dari Kuala Lumpur sebelum cuba keluar melalui laluan Green Channel tanpa membuat sebarang pengisytiharan kepada pihak Kastam.
Bagaimanapun, suspek ditahan selepas pergerakannya menimbulkan syak pegawai Air Intelligence Unit (AIU) Kastam Chennai yang menjalankan pemeriksaan berdasarkan pemprofilan penumpang.
Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi daftar masuk lelaki terbabit menemukan empat peket lutsinar kedap udara yang disembunyikan dalam ruang dasar palsu bagasi.
Peket berkenaan mengandungi bahan kering berwarna hijau kecoklatan yang dipercayai ganja hidroponik, dengan berat bersih 3,452 gram.
Ujian menggunakan kit pengesanan dadah kemudian mengesahkan bahan berkenaan positif ganja sebelum ia dirampas mengikut peruntukan Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985 India.
Suspek ditahan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan direman dalam tahanan kehakiman, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan kaitannya dengan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa secara lebih meluas.
Kes itu menjadikan dua kes membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di Chennai kerana membawa ganja hidroponik dalam tempoh sebulan.
Sebelum ini, pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki Malaysia berusia 54 tahun dari Perak ditahan di Chennai bersama 4.033kg ganja hidroponik selepas tiba dari Bangkok.
Kastam India mengesahkan kes berkenaan secara rasmi, manakala Bukit Aman berkata bekalan dadah terbabit dipercayai diperoleh dari Thailand.
© New Straits Times Press (M) Bhd

