KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa pemain industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan supaya tidak selesa dengan kekuatan sedia ada, sebaliknya memanfaatkan peluang peralihan tenaga untuk meningkatkan keupayaan teknologi, inovasi dan menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pihaknya melihat agenda peralihan tenaga bukan semata-mata berkaitan sektor tenaga, malah menjadi peluang penting untuk menstruktur semula ekonomi negara ke arah aktiviti yang memberikan nilai tambah dan pulangan lebih tinggi.
“Peralihan tenaga membuka ruang kepada kemasukan teknologi baharu, inovasi serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi yang mampu menikmati peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik.
“Pada masa sama, syarikat tempatan perlu memanfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dibangunkan sepanjang berada dalam ekosistem minyak dan gas negara untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bual bicara mengenai Persamaan Kemakmuran: merebut kekayaan melangkaui sumber minyak dan gas sempena Pameran dan Persidangan Gas dan Minyak (OGA) 2026 di sini hari ini.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (ExCo), Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) dan Ts. Amir Hisham Albakri.
Menurut Akmal Nasrullah, pemain OGSE tempatan selama ini sememangnya memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem gas dan petroleum Malaysia, dengan Petronas sebagai tunjang utama industri berkenaan.
“Bagaimanapun, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada keupayaan lebih tinggi, termasuk menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi serta membangunkan ciptaan sendiri yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.
“OGSE Malaysia sepatutnya melihat kepada potensi untuk bukan sekadar memberikan perkhidmatan, tetapi juga menawarkan penyelesaian menggunakan teknologi yang ada serta menghasilkan ciptaan mereka sendiri untuk dipasarkan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan berpandangan ketidaktentuan geopolitik dan konflik yang berlaku di Asia Barat turut memberi pengajaran bahawa sesuatu perkembangan di rantau berkenaan mampu memberi kesan kepada ekonomi dan industri di seluruh dunia.
Menurut Akmal Nasrullah, situasi mencabar itu perlu dilihat sebagai peluang oleh pemain industri tempatan untuk menjadikan Malaysia sebagai pilihan yang lebih stabil serta berkeupayaan dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan berkaitan industri tenaga.
“Justeru, pemain OGSE digesa terus meneroka peluang baharu dan tidak hanya bergantung kepada kekuatan sedia ada, termasuk kelebihan Malaysia sebagai negara pengeluar gas dan petroleum.
“Para pemain OGSE negara seharusnya melihat kepada peluang yang ada ketika ini dan tidak merasa selesa dengan keadaan kekuatan sedia ada.
“Mereka perlu membina kekuatan yang sedia ada ini ke arah menjadi technical solution provider, menjadi pemain bertaraf antarabangsa dan memastikan kesungguhan untuk terus berkembang,” katanya.
Jelasnya, langkah itu juga diyakini mampu memberi manfaat kepada pembangunan modal insan apabila syarikat tempatan berkembang ke peringkat global, sekali gus menyediakan peluang kepada bakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran dan menerima ganjaran yang lebih baik.
“Peningkatan keupayaan syarikat OGSE bukan sahaja penting untuk memperkukuh daya saing industri negara, malah memastikan bakat tempatan mempunyai keupayaan dan kemahiran yang setanding dengan tenaga kerja di peringkat antarabangsa,” katanya.
OGA 2026 tumpuan yang lebih kukuh terhadap akses pasaran, peluang projek dan hubungan perniagaan rentas sempadan, menghimpunkan syarikat tenaga dari Malaysia dan antarabangsa ketika industri berdepan dengan perubahan permintaan, tekanan rantaian bekalan, perkembangan teknologi serta peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.
Edisi ke-22 OGA berlangsung dari 2 hingga 4 September 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diadakan serentak dengan MOGSEC dan Energy Industries Council (EIC) Connect OGA.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga platform ini mempertemukan keupayaan syarikat OGSE Malaysia, peluang projek antarabangsa, teknologi, pelaburan serta kepakaran industri dalam satu ekosistem yang lebih rapat dan bersepadu. – UTUSAN

