Abang Adira selesai beri keterangan di mahkamah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Rawang: Prosiding perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan oleh Datuk Red, 48 selalu plaintif terhadap bekas isterinya iaitu Adira Suhaimi, 35, akhirnya selesai selepas penyanyi itu memberi keterangan penuh bersama abang kandungnya, Norazali Suhaimi sebagai saksi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini, hari ini.

Sehubungan itu, proses perbicaraan asalnya sudah selesai dan mahkamah mengarahkan peguam-peguam syarie mewakili pihak- pihak untuk memfailkan hujah pada tarikh akan datang iaitu 19 Oktober depan.

Peguam mewakili Adira, Syarie mewakili Adira iaitu Roshdan Sujak Rafie berkata secara asasnya semua urusan perbicaraan membabitkan pengesahan lafaz rujuk antara Adira dan plaintif (Red) sudah selesai.

“Jadi, pada tarikh akan datang (19 Oktober) adalah bagi proses penghujahan (daripada peguam-peguam) dan selepas itu akan ada satu lagi tarikh diberikan mahkamah untuk keputusan.

“Sebenarnya apa yang kita lalui ini adalah proses ‘standard’. Maksudnya, apa-apa dakwaan kena dibicarakan di mahkamah dan pihak yang didakwa (defendan) jugs diberi peluang dibicarakan di mahkamah.

“Bila semua sudah memberi keterangan dan sudah ada prosesnya, mahkamah akan buat keputusan. Cuma, sebelum itu pihak-pihak kena sediakan hujah untuk menyokong dakwaan dan keterangan masing-masing.

“Itu adalah proses biasa. Bagaimanapun, pada sesi penghujahan akan datang (19 Oktober) di mahkamah akan membabitkan kehadiran peguam-peguam sahaja,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah selepas sesi perbicaraan selesai.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Red berkata dia bersyukur semua urusan perbiicaraan berjalan lancar dan semuanya dipermudahkan hingga keputusan.

“Pada prosiding perbicaraan hari ini, Alhamdulillah sudah selesai pihak Adira (defendan) memberikan keterangan bersama saksi iaitu abangnya.

“Semua proses lancar dan selepas ini pada tarikh akan datang, 19 Oktober depan adalah bagi proses penghujahan sahaja yang akan dihadiri oleh peguam-peguam,* katanya.

Terdahulu, prosiding perbicaraan permohonan lafaz rujuk pada hari ini membabitkan keterangan Adira dan seorang saksi berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Tuan A’fif Sofiuddin Syeikh Abdul Ghani.

Perbicaraan kes pengesahan lafaz rujuk antara Red dan Adira dibuat secara tertutup dan keterangan penuh oleh pihak plaintif (Red) sudah dilakukannya pada 23 April lalu.

Red difahamkan bertindak memfailkan permohonan pengesahan lafaz rujuk berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang di sini pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, Red pernah berkahwin dengan Adira sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015, namun sah bercerai pada 24 April 2024. Mereka dikurniakan empat anak selama sembilan tahun hidup bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top