Isteri Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, Hani Othman, meluahkan rasa sebak apabila ulang tahun perkahwinan ke-10 mereka hari ini terpaksa diraikan dalam penantian.
“Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun perkahwinan),”demikian luahan Hani yang masih mengharapkan kepulangan suaminya selepas Loe antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Tarikh 3 September sepatutnya menjadi hari istimewa buat pasangan itu yang genap 10 tahun melayari bahtera perkahwinan, namun kali ini Hani hanya mampu menitipkan pesanan buat insan tersayang.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Hani mengimbau pelbagai perancangan dan impian yang sebelum ini disusun bersama suaminya.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-10. 3.9.2016 hingga 3.9.2026. Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun).
“Nervous (berdebar-debar) laaaa hadiah apa abang nak bagi tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam luahan sama, Hani turut menyenaraikan perancangan mereka termasuk menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini.
Mereka juga dijadual melengkapkan kursus ‘divemaster’ di Pulau Tioman pada Oktober, selain merancang mendaki Gunung Rinjani pada Mei tahun depan dan Gunung Kilimanjaro pada Ogos.
“6/9 kita ada exam SKM TVET tau. Bulan 10 kita patut completekan course divemaster (lengkapkan kursus divemaster) kat Tioman.
“Bulan 5 abang kena bawa sayang pergi Gunung Rinjani dan bulan 8 kita nak pergi Gunung Kilimanjaro pula,”kongsinya.
Lebih menyentuh hati, Hani turut mengingatkan suaminya mengenai impian untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest yang masih belum kesampaian.
Katanya, dia sudah berjanji untuk berlatih bersama dan menemani suaminya dalam usaha merealisasikan impian berkenaan.
“Sayang dah cakap dengan abang kan kita akan ‘training’ (berlatih) sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke puncak Everest.
“Impian abang nak ke puncak Everest tak settle (selesai) lagi ni tau. Tolonglah abang… where are you? (di mana awak?),” katanya.

Luahan itu menggambarkan betapa banyaknya impian dan perancangan masa depan yang dibina pasangan berkenaan sepanjang 10 tahun kehidupan bersama.
Ulang tahun perkahwinan yang sepatutnya diraikan bersama kini dilalui Hani dengan harapan agar penantian itu berakhir dengan berita yang dinanti-nantikan.
Media sebelum ini melaporkan, Hani berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal.
Keputusan itu dibuat kerana Hani mahu berada lebih dekat dengan operasi pencarian dan tidak hanya menunggu perkembangan dari Malaysia.
Menerusi hantaran terdahulu, Hani turut berharap tiada seorang pun daripada mayat yang ditemukan adalah suaminya atau anggota kumpulan berkenaan.

Rakan serta kenalan Loe di Nepal turut membantu usaha pencarian, manakala kehadiran Hani di negara itu sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Loe antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda Nepal, dengan usaha mengesan kumpulan berkenaan masih diteruskan.
Kumpulan itu dipercayai berada di sebuah lembah ketika banjir berlaku, manakala Timbalan Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.
Sumber: FB Hani Othman

